Pilih satu Halaman

Interzoo 2024 di Messe Nurnberg, Jerman

Utama » Aktiviti » Interzoo 2024 di Messe Nurnberg, Jerman

9 Mei 2024

INTERZOO merupakan pameran haiwan kesayangan terbesar didunia dan bagi edisi 2024 bermula pada 7-10 Mei 2024 menempatkan lebih 2000 penyertaan pempamer haiwan kesayangan termasuk ikan hiasan dari seluruh dunia.

Kementerian Pertanian dan Sekuriti Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Pejabat Perwakilan Pertanian (PPP) The Hague memberikan sokongan penuh kepada Program INTERZOO 2024 dengan menyediakan Pavilion Malaysia dan menempatkan lapan (8) pempamer terbaik yang terpilih untuk mewakili Malaysia. Syarikat terlibat adalah BP Aquatics, Permai Kencana, KL Discus Farm, Na Discus, Sianlon, Bintong Arowana, Greeny dan CTY.

Pavilion Malaysia turut dihadiri oleh wakil dari Kedutaan Besar Malaysia di Jerman dan wakil MATRADE di dalam sesi ramah mesra bersama semua pempamer yang terlibat kali ini. Pelbagai topik dikupas dan dibincangkan antaranya usaha memperluaskan pasaran eksport ikan hiasan ke Eropah.

Dengan penyertaan Malaysia ke INTERZOO ini, secara tidak langsung telah menarik minat pemain industri tempatan untuk bersama-sama dalam menaikkan industri ikan hiasan di Malaysia melalui pendedahan teknologi luar yang dibawa oleh pemain industri dari pelbagai negara.

Usaha sebegini menjadi satu tanda aras kepada industri ikan hiasan di Malaysia untuk lebih berkembang dan berdaya saing di peringkat global.