Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Raja Zarith Sofiah ke Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M pada 7 Julai 2024 (Ahad) bersamaan 1 Muharram 1446H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sempena Sambutan Ma’al Hijrah tahun ini, Kerajaan telah memilih tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”. Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI.
Kemuncak Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024M ini adalah penyampaian Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong dan diikuti dengan Penyampaian Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
Hadir sama dalam majlis ini YBrs. Tuan Haji Wan Muhammad Aznan bin Abdullah Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) dan seramai 29 orang warga Jabatan Perikanan Malaysia.