Pada tahun 2023, subsektor perikanan telah menghasilkan 1.79 juta t.m ikan makan, 241 juta ekor ikan hiasan dan 26juta ikat tumbuhan akuatik bernilai RM16.5 bilion. Pengeluaran ikan makan menurun sebanyak 5.5 % iaitu penurunan daripada 1.89juta t.m (tahun 2022) kepada 1.79 juta t.m (tahun 2023). Nilai sumbangan industri perikanan pula meningkat sebanyak 3.6% iaitu meningkat daripada RM15.9 bilion (tahun 2022) kepada RM16.5 bilion (tahun 2023).
Sektor perikanan sememangnya diberikan perhatian dalam Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agromakanan 2.0 yang sedang digubal oleh kerajaan. Oleh yang demikian, perancangan hala tuju Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) perlu selaras dengan dasar dan hala tuju sedia ada yang akan datang.
Negara kini berada di era rancangan pembangunan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang merangkumi Rancangan Malaysia ke-12 dan Rancangan Malaysia ke-13. Perancangan hala tuju DOF perlu mengambil kira elemen-elemen seperti
1. Status terkini industri perikanan negara;
2. Pencapaian utama dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11 dan sebelumnya untuk ditambah baik atau ditambah nilai;
3. Isu dan cabaran yang boleh mengekang atau menghalang kemajuan industri perikanan ini;
4. Obligasi-obligasi peringkat antarabangsa berkaitan perikanan dan biodiversiti yang perlu diberi perhatian oleh DOF;
5. Instrumen-instrumen yang boleh digunakan dalam perancangan; serta senario ekonomi negara dan dunia selepas pandemik Covid-19.
Berikut adalah pencapaian pengeluaran perikanan Malaysia pada tahun 2023 melibatkan Sektor Akuakultur, Perikanan Tangkapan, Perikanan Darat dan Ikan Hiasan & Tumbuhan Akuatik di sepanjang tahun.