Pilih satu Halaman

Tukun Rekreasi LRT Pertama di Malaysia

Utama » Aktiviti » Tukun Rekreasi LRT Pertama di Malaysia

13 Julai 2024

Pahang telah berjaya mencatat rekod di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan melabuhkan dua gerabak tren Transit Aliran Ringan (Light Rail Transit) sebagai tukun tiruan (artificial reef) pertama ke dasar laut Pulau Tioman.

Bersempena dengan peristiwa yang bersejarah ini, satu majlis pelancaran bagi program yang turut dikenali sebagai ‘Malaysia Book of Records: The First LRT Coach Reef in Malaysia’ telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah di Berjaya Tioman Resort.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah bertitah inisiatif yang dicetuskan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu diharap dapat memberi impak positif kepada sektor pelancongan di pulau peranginan tersebut.

Pulau Tioman merupakan pulau terbesar dalam sekumpulan sembilan buah pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tioman. la telah dipilih kerana kekayaan persekitaran marinnya dan bagi mengurangkan tekanan kepada terumbu karang di kawasan sekitarnya.

Program ini dianjurkan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah dengan kerjasama Gaya Travel Media, serta disokong penuh oleh Lembaga Pembangunan Tioman, Malaysia Book of Records, Prasarana Malaysia Berhad, Jabatan Perikanan Malaysia, Tourism Pahang, Berjaya Hotels & Resorts, Salam Alliance Sdn. Bhd dan Aqualight Motion.