Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) melaksanakan program pelepasan 36,600 ekor benih spesies ikan asli di Tasik Varsiti, UM sebagai inisiatif bagi meningkatkan populasi dan memulihara kepelbagaian biodiversiti perikanan darat di Kuala Lumpur. Benih spesies ikan asli tempatan yang dilepaskan adalah ikan lampam sungai, ikan terbul, ikan kerai, ikan baung dan 24 ekor induk kelah bernilai RM 24,200.00.
Tuan Haji Wan Muhammad Aznan bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) berkata berdasarkan hasil inventori serta keadaan persekitaran tasik yang bersih dan terkawal, DOF bersama UM bersetuju menjadikan tasik ini sebagai bank penyelidikan ikan asli sebagai langkah konservasi bagi mengekalkan kemampanan spesies tersebut di perairan Kuala Lumpur yang seterusnya dapat dikembangkan ke dalam sektor perikanan akuakultur negara.
Jelas beliau lagi, program pelepasan ikan asli ini wajar dipergiat agar dapat memberi pendedahan kepada pelajar di dalam universiti ini juga orang awam berkenaan. kepentingan menjaga ikan asli di perairan umum serta memupuk kesedaran mengenai tanggungjawab memastikan perairan tidak tercemar.
Sementara itu, Profesor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya berkata Universiti Malaya sebagai institusi pendidikan tinggi awam di dalam kategori kampus bandar, menyambut baik inisiatif yang dipacu Jabatan Perikanan Malaysia untuk mengangkat peranan dan fungsi Tasik Varsiti Universiti Malaya sebagai salah satu bank spesies ikan tempatan induk bagi perairan zon Kuala Lumpur.
Pada program yang sama turut diadakan pameran sektor perikanan darat berkenaan peralatan-peralatan yang dilarang, spesies-spesies ikan yang dibenarkan dan dilarang dilepaskan di perairan umum. Selain itu, pameran berkenaan sejarah dan aktiviti yang dijalankan di Tasik Varsiti UM turut dipamerkan.
Hadir sama ke program, Dr. Muhammad Azzam Ismail, Pengarah Eko Kampu Pusat Pembangunan Lestari UM, Tuan Haji Bakri bin Miswan, Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan DOF dan Puan Suhanah binti Kassiron Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur / Putrajaya.