Pilih satu Halaman

Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (Sistem Sangkar Bersepadu)

Utama » Perkhidmatan » Akuakultur » Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (Sistem Sangkar Bersepadu)

Rancangan Malaysia Ke-12 merupakan pelan pembangunan negara bagi tempoh pelaksanaan 2021-2025. Jabatan Perikanan Malaysia telah merancang satu lagi program pembangunan akuakultur yang dinamakan Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (Sistem Sangkar Bersepadu) bagi menyokong pengeluaran hasil akuakultur negara. Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perikanan Malaysia menawarkan bantuan insentif yang bertujuan sebagai galakan dan pulangan semula sebahagian pelaburan daripada pihak swasta dan komuniti bagi menampung kos operasi yang perlu dikeluarkan sementara pulangan hasil jualan diperoleh setelah tempoh ternakan dicapai.

Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (Sistem Sangkar Bersepadu) mensasarkan pihak swasta dan komuniti yang mengusahakan ternakan akuakultur melalui sistem sangkar ikan samaada ikan air tawar mahupun ikan marin. Sistem Ternakan Ikan Sangkar juga tidak terhad kepada bentuk, saiz, jenis selagi mana boleh dikenali sebagai Sistem Ternakan Ikan Dalam Sangkar. Jabatan Perikanan Malaysia telah menetapkan sasaran pencapaian pengeluaran kumulatif hasil yang bakal diperoleh melalui Program Pembangunan Integrasi Akuakultur menjelang 31 Disember 2025 adalah sebanyak 15,000mt hasil ternakan dan menjana 2,500 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung dengan projek yang diusahakan .yang akan menjadi kayu pengukur kejayaan program ini.

Jabatan Perikanan Malaysia juga telah mengenalpasti sistem sokongan yang memainkan peranan penting bagi memastikan kelancaran kepada kejayaan Program Pembangunan Integrasi Akuakultur iaitu sistem pengeluaran benih ternakan (sistem hacheri dan nurseri), sistem pemprosesan makanan ternakan (makanan rumusan) dan sistem lepas tuai (pemasaran dan pemprosesan produk ikan). Permohonan dari pihak swasta dan komuniti yang meliputi komponen sistem sokongan tersebut akan dipertimbangkan selain komponen utama iaitu sistem ternakan ikan dalam sangkar.

Permohonan bantuan insentif dibawah Program Pembangunan Integrasi Akuakultur terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Projek Komersil dan Projek Kluster.

Projek Komersil

Terbuka kepada semua syarikat swasta yang diperbadankan dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Kos keseluruhan projek akan dinilai dan dipecahkan kepada dua pelaburan yang dinamakan Pelaburan Swasta dan Pelaburan Kerajaan dengan nisbah sekurang-kurangnya 70% Pelaburan Swasta dan sehingga 30% Pelaburan Kerajaan (siling maksimum Pelaburan Kerajaan RM500,000.00). Pelaburan Kerajaan kepada syarikat yang dilantik adalah melalui kaedah tuntutan imbuhan balik kepada pihak Jabatan Perikanan Malaysia melalui Tuntutan Imbuhan Balik Pre-Production ketika pembangunan fizikal (70%) dan Tuntutan Imbuhan Balik Post-Production setelah sasaran pengeluaran tahun pertama berjaya dicapai oleh pihak syarikat (30%). Permohonan sebagai syarikat dibawah Projek Komersil ini dibuka sepanjang tahun berdasarkan kepada peruntukan tahunan yang diluluskan dan permohonan berkenaan boleh dibuat dengan melengkapkan dokumen yang diperlukan dan dihantar ke Ibupejabat Jabatan Perikanan Malaysia, Putrajaya untuk penilaian di peringkat jawatankuasa yang telah ditubuhkan.

 

Projek Kluster

Terbuka kepada komuniti setempat / persatuan / koperasi / pertubuhan yang melibatkan penglibatan sekurang-kurangnya tiga orang individu di dalam sesuatu kluster yang ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti ternakan ikan dalam sangkar dan sistem integrasi yang berkenaan. Pembiayaan Kerajaan bagi sesuatu projek yang dicadangkan adalah melalui geran padanan dengan maksimum sehingga 70% dari nilai keseluruhan projek tersebut. Semua perolehan komponen pembiayaan akan dilaksanakan di peringkat Pejabat Perikanan Negeri melalui Sebutharga/Tender dan pembekalan dibuat oleh kontraktor yang berjaya. Permohonan dibawah Projek Kluster ini juga dibuka sepanjang tahun berdasarkan kepada peruntukan tahunan yang diluluskan dan permohonan berkenaan boleh dibuat dengan melengkapkan dokumen yang diperlukan dan dihantar ke Pejabat Perikanan Negeri untuk penilaian di peringkat jawatankuasa yang telah ditubuhkan.

 

Program Pembangunan Integrasi Akuakultur diurusetia oleh:-

Cawangan Transformasi Ekonomi Perikanan,
Bahagian Akuakultur,
Jabatan Perikanan Malaysia, Putrajaya.
No tel : 03-8870 4788 
Emel : tep@dof.gov.my

Sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini juga boleh diutarakan kepada semua Pejabat Perikanan Negeri atau terus kepada pihak urusetia melalui emel dan telefon.

Perkhidmatan