Pilih satu Halaman

Am

Mendapatkan poster jenis-jenis ikan laut dan bahan penerbitan Jabatan Perikanan Malaysia

Poster dan bahan penerbitan Jabatan Perikanan Malaysia boleh didapati dan diperolehi dari Bilik Sumber Jabatan Perikanan Malaysia, Aras 2 Podium 1, Blok 4G2, Wisma Tani, Presint 4, 62628 Putrajaya atau menghubungi Cawangan Promosi dan Informasi, Bahagian Pengembangan Perikanan di talian 03-8870 4587 (Pn. Noor Ikhwanie binti Zainal) atau 03-8870 4584 (En. Mohd Asmadi bin Ikhwan).

Sebut harga dan tender yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia

Sebut harga Jabatan Perikanan Malaysia boleh diketahui melalui Papan Kenyataan Ibu Pejabat, Pejabat Perikanan Negeri, Institut, Pusat dan daerah ataupun di laman web Jabatan ataupun melalui laman web e-perolehan.

Tender Jabatan Perikanan Malaysia boleh diketahui melalui iklan di surat khabar, papan kenyataan Ibu Pejabat ataupun di laman web Jabatan dan laman web e-perolehan.

Kelulusan Import/eksport

Jabatan Perikanan hanya memberikan kebenaran kelulusan import/export dan pergerakan ikan hidup sahaja. Sehubungan dengan itu pengimportan sampel biologi kehidupan laut yang diawetkan dengan formalin bukan bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan.

Lesen Aktiviti Memancing

Mengikut Akta dan Peraturan Jabatan Perikanan Malaysia, setiap vesel/bot yang digunakan untuk aktiviti menangkap ikan perlu dilesenkan. Bagi kes tuan, walaupun untuk kegunaan sendiri ianya perlu dilesenkan. Namun mungkin tuan bukan nelayan tulen atau sepenuh masa, tiada kad pendaftaran nelayan dan lesen untuk sampan atau enjin sangkut tidak dikeluarkan lagi.

Oleh itu adalah dinasihatkan tuan mendapatkan lesen daripada Jabatan Laut sebagai tujuan rekreasi. Tuan juga boleh hadir ke Pejabat Perikanan Daerah/Jabatan Laut berhampiran untuk mendapatkan nasihat berkaitan.

Subsidi

Jabatan Perikanan tidak menyediakan subsidi tetapi ada menyediakan bantuan berbentuk input. Di samping itu juga, jabatan ada menyediakan insentif galakan pengeluaran Akuakultur. Pengusaha kecil dan juga komersil layak menerima insentif tersebut yang dibayar berasaskan pengeluaran. Pengusaha kecil ikan air tawar termasuk keli dan sebagainya di bayar sebanyak RM 570 bagi setiap tan ikan yang dihasilkan. Pembayaran akan dibuat tertakluk kepada peruntukan yang ada.

Bagaimanapun, untuk maklumat lebih lanjut anda boleh hubungi pejabat perikanan daerah atau negeri yang berkenaan.

Harga Ikan

Harga ikan dimana-mana ditentukan oleh penawaran dan permintaan. Bagaimanapun, pada musim perayaan pihak KPDNHEP akan menetapkan siling harga ikan-ikan tertentu bagi menjaga kepentingan pengguna. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dipertanggungjawab untuk mengendalikan pasaran pemasaran ikan di Malaysia tetapi bukan menetapkan harga. Harga ditentukan oleh pasaran.

Faktor Peningkatan Sumber Perikanan

Industri Perikanan Negara terbahagi kepada dua (2) sub sektor iaitu perikanan tangkapan dan akuakultur:

Perikanan Tangkapan

Sub-sektor perikanan tangkapan diurus bagi memastikan sumber perikanan negara dieksploitasi secara mampan dan menguntungkan. Faktor sumber perikanan yang terhad tidak membolehkan pertambahan bilangan vesel dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Berdasarkan status sumber sedia ada, hanya perikanan laut dalam yang masih berpotensi untuk dimajukan. Faktor-faktor lain yang mempengaruhi industri perikanan tangkapan adalah kekurangan minat warga tempatan untuk bekerja di vesel menangkap ikan laut dalam, kehilangan semasa/selepas tuai (post harvest losses), pencerobohan nelayan asing, penggunaan peralatan yang tidak mesra sumber dan aktiviti hiliran (pemprosesan) yang masih belum berkembang sepenuhnya di negara kita.

Akuakultur

Sub-sektor akuakultur sangat berpotensi untuk dimajukan di negara ini. Antara faktor yang mempengaruhi kemajuan industri akuakultur adalah modal permulaan yang besar, kesukaran memperoleh kawasan yang sesuai dan ancaman penyakit. Negara tidak ketinggalan dari segi teknologi dan Jabatan sentiasa bersedia untuk membantu dari segi teknikal. Isu kekurangan benih lebih kerana kekurangan pengusaha kerana kaedah/teknik menghasilkan benih telah sedia ada di negara kita.

Kedua-dua sub sektor perikanan iaitu perikanan tangkapan dan akuakultur juga menghadapi masalah dari segi kekurangan pekerja tempatan, keperluan untuk mematuhi piawaian antarabangsa dan persaingan dan keperluan untuk menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dimakan dan lebih murah berbanding import.

Spesies Ikan Terjadual

Menurut Akta Cites 2008 (Akta 626), Seksyen 10 dan 12, adalah menjadi suatu kesalahan jika memiliki spesies ikan terjadual (Lampiran 2) dalam Jadual 3 – Spesis Terjadual tanpa permit. Walau bagaimanapun, bagi ikan-ikan yang telah dipelihara atau diperolehi sebelum ini, Jabatan Perikanan akan melaksanakan proses pendaftaran bagi maksud kebenaran memiliki ikan tersebut sedikit masa lagi.

Sila rujuk Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri yang berhampiran untuk penerangan lanjut.

Data Taburan Perikanan

Jabatan Perikanan ada menerbitkan Buku Perangkaan Tahunan Perikanan setiap tahun dan kemungkinan maklumat tersebut boleh diperolehi daripada Buku tersebut. Buku tersebut ada dijual di Unit Penerbitan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Presint 4, Putrajaya dengan harga RM 10 sahaja. Buku tersebut juga boleh dimuat turun daripada ruangan perangkaan di Laman Web Jabatan Perikanan.

Prosedur mengimport Ikan Flowerhorn dari Vietnam

Jabatan Perikanan Malaysia telah membuat satu pindaan peraturan iaitu, ikan flowerhorn (Genus Cichlasoma) telah dimasukkan ke dalam senarai ikan hidup yang dilarang import. Larangan ini adalah selaras dengan Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb., bagi Ikan Hidup) 1990* Pindaan Tahun 2011, Akta Perikanan Malaysia 1985. Larangan ini telah berwartakan pada 10 Mac 2011.

Untuk makluman lanjut sila hubungi Bahagian Biosekuriti Perikanan di talian 03-8870 4000.

 

Import Kerang

Sekiranya kerang yang hendak dieksport merupakan kerang hidup, ia hendaklah merupakan kerang dewasa dengan saiz tidak kurang dari 25mm. Syarat-syarat seperti mana di bawah perlu dipenuhi sebelum tindakan mengeksport kerang tersebut boleh diambil:

  1. Pengeksport perlu berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia.
  2. Pengeksport perlu berdaftar dengan MAQIS bagi mendapatkan permit eksport MAQIS.
  3. Pengeksport perlu memohon lesen eksport Ikan Hidup/Kerang dari pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
  4. Pengeksport perlu mendapatkan maklumat mengenai keperluan analisa yang ditetapkan oleh negara pengimport.

Sebelum kerang boleh dieksport ia perlu disertai dengan Sijil Kesihatan yang diperolehi dari Unit Biosekuriti Perikanan negeri di pintu keluar dan permohonan perlu dibuat 3 hari sebelum tarikh kerang dieksport. Sijil kesihatan akan dikeluarkan berdasarkan keperluan analisa negara pengimport.

Pendaftaran Ladang Ikan

Bagi tujuan permohonan untuk mendaftarkan ladang di bawah CITES, satu kertas cadangan mengenai ladang anda perlu disediakan dan dimajukan ke Jabatan Perikanan Malaysia. Pihak Jabatan seterusnya akan membuat semakan ke atas kertas cadangan tersebut sebelum audit dijalankan berdasarkan senarai semak dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Sekretariat CITES Geneva. Kertas cadangan yang telah lengkap seterusnya akan dihantar ke Sekretariat CITES di Geneva untuk penilaian dan kelulusan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyediaan kertas cadangan dan sebagainya anda boleh berhubung dengan Pn. Norashikin bt Daliyana di talian 03-88704682 atau emel di alamat emel berikut norashikin@dof.gov.my.

 

Prosedur mengimport batu karang hidup dan ikan laut dari luar negara (cth: Australia/Amerika) untuk kegunaan sendiri (bukan perniagaan)

Anda perlu mendapatkan sijil CITES dari negara asal batu karang dan ikan laut berkenaan diimport dan anda juga perlu membuat permohonan bagi mendapatkan permit CITES yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Permit CITES dari negara pengeksport perlu dikemukakan kepada pihak Jabatan bagi tujuan permohonan Permit Import CITES. Borang permohonan Permit Import CITES boleh diperolehi di laman web Jabatan Perikanan Malaysia. Sila rujuk pautan Perkhidmatan Permit Import/Eksport Spesies Akuatik Terancam Kepupusan CITES – Akta 686 untuk butiran lanjut permohonan dan borang-borang yang diperlukan.