Spesies Tuna
Industri perikanan tuna di Malaysia sedang berkembang dan membangun sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara. Industri tuna Malaysia terbahagi kepada dua, iaitu tuna oseanik dan tuna neritik. Terdapat 4 spesies tuna oseanik utama yang ditangkap oleh vesel penangkapan ikan tuna Zon C3 di Lautan Hindi menggunakan vesel peralatan rawai tuna iaitu Yellowfin Tuna / Tuna Sirip Kuning (Thunnus albacares), Bigeye Tuna / Tuna Mata Besar (Thunnus obesus), Albacore / Tuna Albakor (Thunnus alalunga) dan Skipjack Tuna / Aya Jalur (Katsuwonus pelamis). Manakala Tuna Neritik di perairan Malaysia pula terdiri dari spesies Longtail Tuna / Aya Hitam (Thunnus tonggol), Kawakawa / Aya Kurik (Euthynnus affinis), Frigate Tuna / Aya Selasih (Auxis thazard), dan Bullet Tuna / Aya Peluru (Auxis rochei) yang ditangkap oleh vesel pukat jerut Zon C dan Zon C2. Di W.P Labuan, Jongkong Tuna menggunakan peralatan pancing tuna mampu menangkap ikan tuna oseanik dan neritik mengikut musim dan kawasan penangkapan.
Oseanik Tuna
Neritik Tuna
Pindaan Akta Perikanan Berkaitan Laut Lepas
Akta Perikanan (Pindaan) 2019, Akta A1601 berkaitan Laut Lepas telah diluluskan dan berkuatkuasa pada 30 September 2019. Pindaan Akta ini meliputi:
- pengeluaran lesen penangkapan ikan tuna di laut lepas (high seas) secara sah di bawah undang-undang Malaysia bagi menggalakkan rakyat Malaysia menceburi industri perikanan tuna untuk meningkatkan hasil negara.
- meningkatkan kadar denda bagi kesalahan di bawah Akta 317 sebagai langkah pengawalan dan pencerobohan vesel-vesel penangkapan ikan asing dan pengawalan ke atas pemilik vesel tempatan yang menjalankan operasi penangkapan ikan di laut lepas supaya dapat melindungi sumber perikanan dan ketirisan sumber serta mematuhi peraturan perikanan antarabangsa bagi mengelakkan penangkapan ikan secara Illegal, Unreported, Unregulated (IUU).
Pendaratan Tuna
Pendaratan tuna di Malaysia secara keseluruhannya merangkumi tangkapan ikan tuna neritik, tuna oseanik dan tuna-like spesies. Pada tahun 2019, sebanyak 108,596.08 tan metrik tuna didaratkan dengan nilai RM 962.23 juta.
Pengurusan Tuna Antarabangsa
Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) adalah suatu badan pengurusan perikanan antarabangsa (RFMO) di perairan Lautan Hindi yang bertanggungjawab untuk mengadakan kerjasama antara negara ahli bagi memastikan eksploitasi sumber tuna secara optimum berdasarkan stok sumber melalui tadbir urus dan pematuhan resolusi antarabangsa yang baik. Sebanyak 31 buah negara telah menganggotai IOTC. Malaysia telah menjadi negara ahli IOTC sejak 22 Mei 1998. Justeru, pada tahun 2004, Malaysia mula melesenkan vesel-vesel penangkapan ikan tuna untuk beroperasi di Lautan Hindi.
Pada tahun 2016, Jabatan Perikanan Malaysia telah menyenaraikan dua buah pelabuhan di Malaysia sebagai pelabuhan pendaratan tuna oleh vesel-vesel yang beroperasi di Lautan Hindi iaitu Pelabuhan Pulau Pinang (Dermaga Ayer Dalam) dan Pelabuhan Langkawi.
Sehingga tahun 2019, sebanyak 17 buah vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier tuna telah dilesenkan dan beroperasi di Lautan Hindi dengan hasil tangkapan sebanyak 2,843.27 tan metrikdengan nilai anggaran RM 35 Juta.
Secara ringkasnya, berikut adalah proses pelesenan vesel melibatkan proses permohonan permit, perolehan vesel dan pendaftaran vesel tuna baharu.
Kategori Pemohon
- Syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan ekuiti sekurang-kurangnya 51% dimiliki oleh warganegara Malaysia.
- Koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan dimiliki sepenuhnya (100%) oleh warganegara Malaysia.
Cara Memohon
- Mengisi borang permohonan LPI.1/95 dengan lengkap dan jelas. Borang permohonan boleh didadapati dari mana-mana Pejabat Perikanan Daerah / Negeri dan Ibu Pejabat Perikanan, Putrajaya. Borang juga boleh dimuat turun di Laman Web Rasmi Jabatan iaitu di www.dof.gov.my.
- Mengemukakan bersama dokumen-dokumen berikut:-
- Syarikat/Koperasi
- Salinan kad pengenalan pemohon
- Salinan kad pengenalan nelayan (jika ada)
- Salinan dokumen syarikat yang sah dan terkini:-
- Borang 9, 24, 44, 49 dan MMA
- Salinan Sijil Pendaftaran Perniagaan / senarai perkongsian
- Kertas kerja projek
- Penyata kewangan / Akaun Bank Syarikat (3 bulan terakhir dan disahkan)
- Penyata Akaun Syarikat yang telah diaudit
- Lain-lain dokumen yang menyokong permohonan seperti keterangan harta, pengalaman, jaminan kredit daripada bank dll.
- Syarikat/Koperasi
Kategori Vesel Dipohon
- Vesel penangkapan ikan tuna adalah melebihi 70 GRT / GT ke atas.
- Kategori vesel laut dalam yang dipohon:-
- Vesel bina baru dalam negara memenuhi garis panduan pemodenan vesel Jabatan Perikanan Malaysia (gentian kaca / besi)
- Vesel bina baru/terpakai luar negara moden (gentian kaca / besi)
- Vesel tidak tersenarai / mempunyai sejarah IUU
Jenis Peralatan Menangkap Ikan
- Pukat Jerut Tuna
- Rawai Tuna
Pangkalan dan Kawasan Menangkap
- Pangkalan yang dibenarkan adalah di P.Pinang / Langkawi, Kedah.
- Kawasan tangkapan adalah di Laut Lepas (Lautan Hindi)
CATATAN:
Permohonan untuk vesel bina baru / terpakai luar negara perlu mendapatkan pengesahan daripada negara asal (flag state).