Pendahuluan
Maksud Tatacara Operasi Standard (SOP) ini ialah untuk memberikan garis panduan serta arahan-arahan tetap mengenai prosedur-prosedur mengurus dan menguatkuasakan peruntukan-peruntukan di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb., bagi Ikan)1990 (Pindaan) 2011 yang telah diwartakan pada 17 Januari 2011. Tujuan dan semangat semua peraturan-peraturan dibawahnya adalah untuk mengawal dan melindungi kepentingan ekosistem dan biodiversiti akuatik Negara daripada didominasi oleh ikan larangan ini. Dengan adanya SOP ini, diharapkan pengurusan dan penguatkuasaan Peraturan diatas dapat dilaksanakan dengan dedikasi dan teratur serta penuh tanggungjawab penuh secara adil dan saksama.
Glosari Arahan Tetap
- Karnivor Ganas ditakrifkan sebagai sifat ikan yang sumber makanan asasnya adalah ikan lain bersifat menyerang secara agresif.
- Beracun ditakrifkan sebagai ikan yang mempunyai racun secara alamiah yang memberikan kemudaratan kepada sesiapa yang memegang atau memakannya.
- Elektrik ditakrifkan spesies ikan yang berupaya menjanakan tenaga elektrik sebagai pertahanan dan senjata serangan.
- Potensi Perosak ikan yang bersifat perosak dan diperkenalkan di perairan dan mempunyai keupayaan untuk menjadi dominan dengan cepat dan mengancam populasi asal perairan berkenaan.
- Traumatogenik adalah ikan yang dikelaskan dibawah Fishbase sebagai ikan yang berupaya memberikan kesan kecederaan secara menyerang mangsanya termasuk manusia.
- Ikan Tempatan adalah ikan spesies asli di mana-mana ekosistem semulajadi Malaysia, termasuk sebarang spesies yang asal atau spesies yang dikembangkan dalam habitat tempatan tanpa ada gangguan dan campurtangan manusia. Dua kategori ikan tempatan;
- Ikan Tempatan Asli – ikan tempatan yang boleh ditemui di pelbagai lokasi ekosistem dan habitat.
- Ikan Tempatan Endemik – ikan tempatan asli yang hanya boleh ditemui di lokasi ekosistem dan habitat berdasarkan lokaliti tertentu sahaja.
- Ikan Bela Jinak / Domestikated adalah ikan spesies asing yang tidak jatuh dalam definasi ikan tempatan tetapi telah berada di Malaysia untuk tujuan akuakultur dan secara dasarnya tidak membawa kesan buruk kepada ekosistem/habitat akuatik tempatan.
- Spesies Asing / Invasive adalah species yang dibawa dan/atau di sebarkan/tersebar di luar daripada kawasan taburan asal dan memberikan ancaman kepada kepelbagaian biologi ekosistem/habitat baru.
- Ikan Larangan ditakrifkan sebagai spesies ikan bukan asli yang dipertimbangkan sebagai bahaya kepada habitat/ekosistem akuatik dan/atau memberikan kemudaratan kepada kesihatan dan kebajikan penduduk.
Punca Kuasa
Akta Perikanan 1985 memperuntukan punca kuasa kepada Menteri untuk merangka undang-undang bagi kawalan larangan import dan menternak ikan berbahaya di dalam Seksyen 61 (l), (af) dan (ag).Seksyen 61 (l) memperuntukan kuasa Menteri ‘untuk melarang apa-apa spesies ikan’.
- Seksyen 61 (l) memperuntukan kuasa Menteri ‘untuk melarang apa-apa spesies ikan’.
- Seksyen 61 (af) pula menyebut kuasa Menteri ‘untuk menetapkan peraturan-peraturan pengawalan spesies ikan yang merbahaya’.
- Seksyen 61 (ag) pula menyebut mengenai kuasa Menteri ‘untuk menetapkan peraturan-peraturan mengenai pengawalan pergerakan ikan dalam Malaysia’.
Menteri di bawah kuasa yang diberikan di bawah Akta Perikanan 1985 telah mewartakan Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Import dan sebagainya bagi Ikan) 1990 sebagai satu langkah kawalan mengimport, menjual, memelihara atau menyimpan spesies ikan larangan seperti dalam Jadual di dalam peraturan yang sama.
Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Import dan sebagainya bagi Ikan) 1990 memperuntukan;
- Larangan mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan ikan larangan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan.
- Ketua Pengarah boleh mengenakan syarat-syarat yang patut untuk mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan ikan larangan.
- Mana-mana orang yang melanggar peruntukan dalam peraturan ini melakukan kesalahan dan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.00 atau
apenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Kategori Ikan Larangan
Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Import dan sebagainya bagi Ikan) 1990 menyenaraikan genus ikan larangan seperti;
- Serrasalmus / Serrasalmo / Pyg
rocentrus / Catoprian. - Pygopristis
- Co
llosomma / Piaractus - Mylossoma
- Mylopus / Myleus
- Pristobrycon
- Myletes
Larangan bagi genus ikan pada peraturan 1990 diwartakan atas dasar sifat ikan-ikan asal Amazon ini yang karnivor ganas, traumatogenik dan berbahaya kepada populasi ikan tempatan dan masyarakat. Selain daripada itu, pengenalan genus ini di perairan umum tanpa kawalan akan mengganggu keseimbangan biodiversiti habitat dan ekosistem akuatik negara.
Pindaan kepada peraturan ini pada tahun 2011 telah menambah beberapa genus ikan yang dilarang seperti;
- Salmo
- Onchorynchus
- Cichla
- Esox
- Cichlasoma
- Acipenser
- Arapaima
- Lepisosteus
- Cherax destructor
Tambahan genus dan spesies bagi pindaan pada tahun 2011 adalah berasaskan kepada factor perebakan penyakit (Penyakit Salmonid – Salmo dan Onchorynchus; dan udang crayfish – Cherax destructor), sifat-sifat pemangsaan ganas (bagi genus Esox, Acipenser, Lepisosteus dan Arapaima) serta keseimbangan biodiversiti ekosistem akuatik (Cichla dan Cichlasoma).
Pengurusan dan Penyisihan Spesies Ikan Mengikut Peruntukan Peraturan
Aktiviti menternak, membiak, menjual semula sehingga kepada mengeksport spesies ikan larangan di bawah peraturan ini adalah dilarang sama sekali. Sebarang usaha yang dibuat menjurus ke arah itu adalah melakukan satu kesalahan.
Memandangkan terdapat beberapa spesies ikan larangan yang tersenarai di bawah peraturan ini telah pun berada di Malaysia, beberapa langkah pengurusan dan penguatkuasaan perlu diambil bagi membendung dan menyekat penyebaran spesies ini secara berleluasa dan lebih kritikal menguasai secara dominan perairan tempatan Malaysia.
Secara konsisten, semua pihak perlu mengambil langkah-langkah perlu bagi mengurangkan populasi ikan larangan yang telah sedia ada di dalam negara secara berperingkat-peringkat.
Berikut adalah kaedah pengkelasan semula ikan berkenaan mengikut kategori berikut:
- Sifat ikan yang secara jelas memberi ancaman kepada manusia – Faktor K (karnivor / ganas / Beracun / Elektrik). Faktor K diukur dengan menggunakan skala likert 0 hingga 3.
- Nilai ‘0’ bagi ikan yang tidak mempunyai sebarang ancaman;
- Nilai ‘1’ bagi ikan yang kurang bahaya;
- Nilai ‘2’ bagi ikan yang berpotensi menjadi perosak dan;
- Nilai ‘3’ bagi ikan yang bersifat traumatogenik / elektrik.
- Status Kewargaan Ikan – Faktor EB (Tempatan / Bela jinak / Asing). Faktor EB diukur bagi penentuan kesan ikan invasif terhadap ekosistem tempatan. Faktor EB ditentukan dengan menggunaka skala likert dari 0 hingga 5.
- Nilai ‘0’ – tiada kesan kepada ekosistem dan biodiversiti;
- Nilai ‘1’ – Berpotensi kecil kepada ekosistem dan biodiversiti;
- Nilai ‘2’ – Berpotensi sederhana kepada ekosistem dan biodiversiti;
- Nilai ‘3’ – Berpotensi memberikan kesan kepada merosakkan ekosistem dan biodiversiti;
- Nilai ‘4’ – Memberikan kesan merosakkan dan dominan dalam ekosistem dan biodiversiti;
- Nilai ‘5’ – Membawa kesan bencana dan berbahaya kepada ekosistem dan biodiversiti.
Penilaian berasaskan kepada Faktor K dan Faktor EB, akan menyisih kedudukan setiap ikan berkenaan di dalam Carta Kunci Penyisihan Matrik Spesies Invasif (Invasive Fish Species Matrix Alienation Lock- ISMAIL). ISMAIL mengandungi kategori pengkelasan ikan larangan di dalam peraturan ini akan dibuat berasaskan kepada sifat ikan dan status kewargaan seperti pada jadual kunci matrik di bawah;
- Kumpulan putih – ikan tempatan yang tidak mempunyai ancaman kepada manusia dan tidak mengancam ekosistem serta biodiversiti. Ikan yang disenaraikan dalam senarai ini boleh diimport, dijual, dipelihara, disimpan, dibiakkan dan dijualsemula tanpa perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah.
- Kumpulan Biru – ikan yang telah dibelajinak dan tidak membawa ancaman dan ikan spesies tempatan yang kurang bahaya. Aktiviti mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan perlu berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia.
- Kumpulan Hijau – Spesies asing/luar yang tiada ancaman, spesies belajinak yang kurang bahaya dan juga spesies te
ampatan yang mempunyai potensi perosak. Aktiviti mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan perlu berdaftar dan di bawah selian serta pengawasan Jabatan Perikanan Malaysia. - Kumpulan Kuning – spesies asing/luar kurang bahaya, spesies belajinak yang berpotensi perosak dan spesies tempatan yang bersifat traumatogenik. Aktiviti mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan perlu mendapatkan kelulusan khas Ketua Pengarah Perikanan, premis penyimpanan perlu didaftarkan, di bawah pengawasan Jabatan Perikanan Malaysia dan perlu menyimpan rekod-rekod ladang (rekod bilangan ikan, kematian dan jualan kepada pembeli).
GARISAN ISMAIL adalah garisan sempadan pemisah diantara kategori yang dibenarkan diternak dengan ikan yang tidak dibenarkan diternak tanpa kelulusan khas Ketua Pengarah. Kegagalan pemilik menunjukkan bukti sijil kebenaran (LAMPIRAN B) yang sah dan dikeluarkan bagi tujuan mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan akan dikenakan tindakan rampas atau di dakwa di bawah Peraturan ini.
- Kumpulan Merah – spesies asing/luar yang berpotensi perosak dan spesies belajinak yang bersifat traumatogenik. Aktiviti mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan perlu mendapatkan kelulusan khas Ketua Pengarah Perikanan, premis penyimpanan perlu didaftarkan, di bawah pengawasan Jabatan Perikanan Malaysia dan perlu menyimpan rekod-rekod ladang (rekod bilangan ikan, kematian, jualan dan lain-lain rekod). Langkah kawalan ketat bagi mengelakkan ikan ini daripada terlepas perlu diberikan keutamaan kepada pemilik yang diberikan kelulusan.
- Kumpulan Hitam – Spesies asing/luar yang bersifat traumatogenik. Aktiviti mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan hanya diluluskan oleh Ketua Pengarah Perikanan bagi tujuan Pendidikan dan Penyelidikan sahaja. Bukan untuk tujuan ternakan, pengeluaran besar-besaran, jualan semula dan eksport. Pemilik premis untuk tujuan import, memelihara dan menyimpan perlu didaftarkan, di bawah pengawasan Jabatan Perikanan Malaysia dan perlu menyimpan rekod-rekod ladang (rekod bilangan ikan, kematian, jualan dan lain-lain rekod). Langkah kawalan ketat bagi mengelakkan ikan ini daripada terlepas perlu diberikan keutamaan kepada pemilik yang diberikan kelulusan.
Pendaftaran Premis
- Setiap premis yang berhasrat untuk mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan ikan larangan dalam Peraturan ini perlu mendaftarkan premis mereka dengan mengisi Borang ARF02.
- Semakan spesies boleh di buat di sini.
- Borang yang telah diisi dengan sempurna perlu diserahkan kepada Pejabat Perikanan Daerah terdekat.
- Pegawai Akuakultur Daerah perlu melaksanakan verifikasi lapangan dalam masa 3 hari selepas menerima borang permohonan pendaftaran.
- Borang yang telah lengkap diisi dan disokong oleh Pegawai Akuakultur Daerah perlu dihantar kepada Cawangan Biosekuriti Perikanan Negeri untuk pemberian nombor pendaftaran premis.
- Cawangan Biosekuriti Perikanan Negeri menghubungi Bahagian Biosekuriti Perikanan Ibu Pejabat untuk mendapatkan nombor pendaftaran.
- Bahagian Biosekuriti Perikanan Ibu Pejabat memberikan nombor pendaftaran premis.
- Dokumen borang pendaftaran dan dokumen sokongan dihantar ke Bahagian Biosekuriti Perikanan Ibu Pejabat.
Kelulusan Premis
- Setiap premis yang berdaftar boleh memohon untuk mendapatkan kelulusan bagi mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan ikan larangan setelah premis berjaya menjalani proses pengauditan pematuhan dan dianugerahkan sijil amalan akuakultur baik.
- Komponen utama pensijilan bagi premis ikan larangan haruslah dititikberatkan kepada aspek biosekuriti, amalan akuakultur baik dan penekanan kepada:
- Langkah kawalan rawatan air buangan.
- Kawalan bagi mengelakkan escapee.
- Rekod pembelian dan rekod jualan.
- Penyimpanan rekod maklumat pembeli ikan.
- Setiap penambahan spesies yang dibenarkan perlu dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia terdekat untuk tujuan semakan spesies.
- Setiap premis yang berjaya dipersijilkan perlu mempamerkan Sijil Kebenaran menjual, memelihara dan menyimpan ikan larangan sepanjang masa di premis ikan tersebut berada.
- Bagi premis yang menjual ikan berkenaan, rekod pembeli perlu disimpan dan setiap pembeli perlul diberikan slip jualan yang menerangkan maklumat mengenai alamat penjual, nama ikan, kuantiti ikan yang dijual dan nama pembeli. Slip pembelian perlu disimpan oleh pembeli untuk tujuan verifikasi oleh penguatkuasa Jabatan Perikanan Malaysia jika perlu.
Pembatalan Kebenaran
Kebenaran mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan ikan larangan ini akan terbatal sekiranya:-
- Pemilik gagal membuat permohonan untuk menyambung sijil kebenaran setelah tempoh sijil tamat. Permohonan sambungan perlu dibuat selewat-lewatnya 3 bulan sebelum sijil tamat.
- Pemilik gagal membuktikan dokumen pertukaran pemilikan ikan daripada pemilik asal kepada pemilikan baru.
- Pemilik tidak merekodkan kematian ikan.
- Pemilik tidak menghantarkan laporan separuh tahun ke Jabatan Perikanan Malaysia.
- Pemilik tidak melupuskan ikan mengikut cara yang dibenarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.