Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan Vesel Zon A dan Zon B
Semasa Ucapan Belanjawan 2021, Kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM 150 juta bagi tujuan pembiayaan Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Peralatan bagi Vesel Zon dan Zon B. Peruntukan ini adalah di bawah Dasar Jaminan Makanan (DJM) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
- Objektif utama projek ini adalah ke arah pembangunan industri perikanan pantai menerusi program pemodenan vesel, menggalakkan penggunaan peralatan mesra alam dan peningkatan mekanisasi peralatan tangkapan vesel di Zon A dan Zon B;
- Membuka peluang nelayan tradisi di Zon A dan Zon B menaik taraf dan memodenkan vesel, mekanisasi, peralatan tangkapan yang lebih efisien dan mesra sumber, peningkatan aspek keselamatan dan peningkatan kualiti hasil tangkapan. Secara langsung meningkatkan pendapatan nelayan A dan Zon B;
- Program ini juga merupakan usaha Jabatan dalam menggalakkan vesel beroperasi di zon yang lebih jauh atau bertukar peralatan daripada peralatan komersial kepada peralatan tradisional, mengubahsuai vesel dengan konsep ke arah pemodenan vesel, pembelian enjin baru atau menambah baik peralatan menangkap ikan bagi berpindah ke Zon C. Ini seterusnya akan meningkatkan proses pemuliharaan semula jadi stok ikan dan kualiti ekosistem di kawasan kurang 12 batu nautika dari pantai dan mewujudkan kawasan menangkap ikan yang stabil serta penerokaan yang mapan;
- Mengurangkan kebergantungan penggunaan kru bukan warganegara bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan dan menggalakkan penglibatan kru warganegara termasuk belia bekerja di atas vesel penangkapan ikan yang moden dan selesa;
- Melalui mekanisasi tangkapan, mengurangkan jumlah penggunaan kru dan meningkatkan kecekapan hasil tangkapan mekanisasi yang bersesuaian, seterusnya mengurangkan kos operasi dan meningkatkan hasil kepada pemilik vesel; dan
- Meningkatkan lagi jumlah pendaratan ikan bagi tujuan bekalan makanan. Ianya juga akan dapat membantu menjana pendapatan nelayan, meningkatkan ekonomi nelayan dan menambah baik keselamatan nelayan.