Pilih satu Halaman

Sijil Kualiti Ikan (Fish Quality Certification)

Utama » Perkhidmatan » Skim Pensijilan (Biosekuriti) » Sijil Kualiti Ikan (Fish Quality Certification)

Skim Pensijilan Biosekuriti Perikanan adalah satu skim yang menggabungkan pensijilan bagi amalan pengeluaran terbaik sektor perikanan merangkumi perikanan tangkapan, akuakultur dan pemuliharaan perikanan. Garis panduan am ini disediakan bagi menjadi rujukan utama terhadap kesemua aktiviti pensijilan yang diuruskan di bawah skim pensijilan ini.

Tujuan garis panduan am ini adalah untuk mengurus tatacara pengauditan biosekuriti perikanan sebelum pensijilan rasmi ke atas premis dilakukan. Selain daripada itu, prosedur ini dibangunkan bagi dijadikan panduan kepada juruaudit untuk menjalankan proses pengauditan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Prosedur ini juga berhasrat bagi menyeragamkan aspek teknikal pengauditan bagi kesemua aktiviti pensijilan perikanan yang melibatkan akuakultur ternakan ikan, pengeluaran benih, ikan hiasan, rumpai laut pengilangan makanan ternakan dan kilang tepung ikan, dan amalan kebersihan di atas vesel penangkapan ikan.

Sejarah Program Pensijilan Perikanan

Skim pensijilan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia bermula pada tahun 2004 apabila Jabatan mula memperkenalkan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM). Skim pensijilan ini bermatlamatkan untuk memberikan jaminan hasilan akuakultur Malaysia dihasilkan tanpa memberikan kemudaratan kepada alam sekitar dan selamat di makan. Buat sementara waktu, piawaian rujukan pensijilan menggunakan panduan pensijilan terkemuka sedia ada di dunia. Memandangkan keperluan pematuhan untuk dipersijilkan mengikut panduan berkenaan amatlah tinggi dan menyukarkan untuk penternak pengeluaran berskala kecil dan sederhana untuk patuh, satu skim pensijilan pengenalan kepada pematuhan akuakultur baik diperkenalkan pada tahun 2005 yang dikenali sebagai Skim Amalan Akuakultur Baik (SAAB).

Pembangunan Standard Malaysia bagi Akuakultur

Jabatan Standard Malaysia pada tahun 2007 telah mengeluarkan satu garis panduan am bagi pelaksanaan yang seragam amalan akuakultur baik sebagai rujukan umum di Malaysia dengan rujukan Malaysia Standard, MS1998:2007 – General Guidelines for Good Aquaculture Practices. Garis panduan piawai ini telah memasukkan kesemua keperluan bagi sesuatu ladang, sangkar, pembenihan ikan dan lain-lain aktiviti akuakultur untuk dirujuk dan mengukur paras kepatuhan pengusaha terhadap amalan pengeluaran baik aktiviti akuakultur.  Pematuhan bermula daripada skop pemilihan tapak, pembinaan, pemilihan benih terbaik, penternakan, pengurusan penyakit sehingga ke peringkat pengeluaran dan pengendalian lepas tuai.  Sebagai tambahan kepada piawaian ini, keperluan pemantauan kesihatan ternakan, isu melibatkan kesan sosio-ekonomi seperti buruh, bias gender, kemampanan alam sekitar dan halal turut disentuh di dalam piawaian ini.

Keperluan kepada pematuhan kepada kehendak terkini di dalam FAO Technical Guidelines on Aquaculture Certification yang diterbitkan pada tahun 2011 dan Guidelines on ASEAN Good Aquaculture Practices (ASEAN GAqP) for Food Fish, 2015 telah menambah keperluan baru di dalam piawaian amalan baik bagi akuakultur Malaysia. Keperluan seperti hak awam dan penduduk tempatan untuk akses kepada sumber, buruh kanak-kanak dan penggunaan air buangan turut dimasukkan di dalam semakan baru piawaian ini. Standard baru yang disemak semula ini telah diterbitkan pada tahun 2017 dan dikenali sebagai Standard Malaysia (Malaysia Standard – MS) 1998:2017 – Good Aquaculture Practices – Aquaculture Farm (First Rivision)

Penggantungan Eksport Ikan Hiasan dan Hasilan Ikan Malaysia ke Kesatuan Eropah

Insiden penyahsenaraian syarikat pengeksport ikan dan hasilan ikan Malaysia daripada senarai pengeksport Ketua Direktorat Kesihatan dan Kepenggunaan (Directorate-General of Health and Consumers – DG SANCO) Kesatuan Eropah pada tahun 2008 telah melahirkan satu skim pensijilan yang merangkumkan kualiti dan kebersihan pengeluaran akuakultur dan perikanan tangkapan di bawah satu skim pensijilan. Skim pensijilan ini mempunyai keperluan tambahan yang perlu dipatuhi oleh penternak ikan dan nelayan untuk memenuhi kehendak perundangan Kesatuan Eropah.

Sijil yang dijenamakan sebagai Sijil Kualiti Ikan (Fish Quality Certificate – FQC) ini dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Kawalan Kualiti Ikan Bagi Eksport ke Kesatuan Eropah) 2009 dan Pindaan 2012, Akta Perikanan 1985. Penganugerahan sijil ini diberikan kepada pemilik premis yang berjaya ditauliahkan dengan myGAP, myGMP dan myHOB yang membekalkan ikan mereka kepada premis pengeksport hasilan ikan ke pasaran Kesatuan Eropah.

Pensijilan ini adalah khusus ditauliahkan untuk pengusaha akuakultur, pemilik vesel, pengilang kilang makanan ikan dan tepung ikan, pengusaha pusat penetasan ikan dan pengeksport/pengimport yang terlibat di sepanjang rantaian nilai bekalan ikan dan hasilan ikan bagi tujuan eksport ke Kesatuan Eropah. Pengusaha yang dipersijilkan di bawah program FQC adalah wajib untuk terlibat di dalam program pemantauan kehadiran kontaminan tahunan seperti Program Pemantauan Residu Akuakultur (Aquaculture Residue Monitoring Program – ARMP); Program Pensampelan Kebersihan Atas Vesel Penangkapan Ikan; Program Pemantauan Makanan Ikan dan Tepung Ikan; dan Program Pemantauan Penyakit Ikan Kebangsaan.

Dalam masa yang sama, penerima sijil myGAP, myHOB dan myGMP Kilang Makanan Ikan dan Tepung ikan perlu memperuntukan sumber kewangan bagi pelaksanaan pemantauan sendiri kehadiran kontaminan tertentu  dan dibuktikan bebas dan selamat di makan sebelum boleh membekalkan kepada pengilang yang mengeksport hasil pemprosesan kilang mereka ke pasaran Kesatuan Eropah.  Tujuan pemantauan sendiri adalah bermatlamat untuk memastikan supaya keputusan pemantauan sendiri yang dikendalikan oleh pemilik ladang/premis dan pemantauan rasmi Kerajaan mempunyai keputusan yang tiada percanggahan dan melindungi kedua-dua belah pihak.

Syarikat yang dipersijilkan akan tersenarai di dalam halaman Sistem Pengurusan Eksport Makanan Untuk Pengeksportan ke Kesatuan Eropah / Food Management System for Export to European Union – FEXOC (http://fexoc.moh.gov.my/) bagi membolehkan Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia merujuk sumber asal bahan mentah dan mengeluarkan Sijil Kesihatan mengiringi konsainan ke pasaran Eropah.

Penjenamaan Semula SPLAM

Sejak dilancarkan pada tahun 2004, sijil SPLAM turut dilancarkan secara bersama dengan dua lagi skim pensijilan di bawah kelolaan Jabatan Pertanian (Skim Amalan Ladang Baik Malaysia – SALAM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (Skim Pensijilan Amalan Ladang Ternakan Baik – SALT). Ketiga-tiga skim pensijilan ini merupakan jenama amalan pertanian baik Malaysia yang memerlukan promosi untuk diperkenalkan di persada antarabangsa.

Pada 28 Ogos 2013, ketiga-tiga jenama skim pensijilan ini telah digabungkan di bawah satu jenama baru yang di panggil myGAP (Malaysia Good Agriculture Practices).  Jenama baru ini telah memberikan satu anjakan baru apabila proses pengeluaran sijil telah diseragamkan untuk memenuhi keperluan pengauditan di dalam ISO 19011 Guidelines for Auditing Management Systems.

Skim Pensijilan Biosekuriti Perikanan terdiri daripada berbagai kategori aktiviti sepanjang rantaian nilai pengeluaran perikanan yang melibatkan aktiviti huluan sehingga kepada pengeluaran dokumen jaminan rasmi bagi eksport produk perikanan.Walau bagaimanapun, dokumen ini hanya menumpukan terhadap pensijilan yang melibatkan kawalan rasmi biosekuriti perikanan bagi aktiviti huluan sahaja.

Program jaminan rasmi seperti terhadap pengeluaran dokumen sokongan eksport seperti pengeluaran sijil kesihatan bagi ikan hidup dan hasilan ikan serta pengakusaksian terhadap tempasal dan permit eksport bagi ikan larangan dan spesies terancam dan dilindungi tidak sentuh di dalam dokumen ini.  Skim pensijilan ini terbahagi kepada dua (2) komponen utama:-

Sijil Amalan Akuakultur Baik (myGAP)

Skim Pensijilan myGAP hanya menawarkan sijil kepada pengusaha yang melibatkan diri dalam akuakultur sahaja seperti berikut:-

Pensijilan di bawah kategori ini merangkumi aktiviti ternakan ikan dan krustasia bagi tujuan dijadikan makanan manusia. Sistem ternakan yang boleh dikategorikan termasuk di dalam kategori ini adalah:

  • Kolam Ternakan Udang Laut.
  • Kolam Ternakan Ikan Air Tawar.
  • Sangkar Ternakan Ikan Laut.
  • Sangkar Ternakan Ikan Air Tawar.
  • Ternakan Ikan dalam Tangki.

Pensijilan ladang bagi kategori ini menggunakan piawaian rujukan MS 1998:2017 – Good Aquaculture Practices (First Rivision) dan pengusaha yang mengeluarkan hasilan akuakultur secara organik akan disahkan amalan akuakultur mereka berasaskan kepada piawaian MS 2463:2012 – Good Organic Aquaculture Practice.

Contoh Pelan Susun Atur Kolam Ternakan Udang Laut Yang Dipersijilkan myGAP

Perkara utama yang menjadi kemestian bagi setiap pengusaha untuk patuh adalah melibatkan:

  • Pemilihan Tapak
  • Pembinaan Ladang / Sangkar
  • Penyediaan Ladang
  • Bekalan Benih
  • Makanan Ternakan (Program Halal dan Bebas porsin)
  • Penyimpanan Bahan Kimia
  • Pengurusan Air Ternakan
  • Tuaian dan Pengendalian Tuaian
  • Kawalan Penyakit
  • Kawalan Pemangsa dan Makhluk Perosak
  • Rentas Sempadan
  • Kebajikan, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja
  • Latihan
  • Dayajejak
  • Penyimpanan Rekod Ladang
  • Pengauditan Dalaman
  • Tanggungjawab Sosial
Contoh Pelan Susun Atur Sangkar Ternakan Ikan Laut Yang Dipersijilkan myGAP

Pensijilan di bawah kategori ini merangkumi aktiviti pengeluaran benih ikan dan krustasia bagi tujuan dijadikan makanan manusia termasuk juga pengeluaran induk ikan dan krustasia bebas penyakit tertentu bagi tujuan pembenihan. Aktiviti pengeluaran benih yang boleh dikategorikan termasuk di dalam kategori ini adalah:

  • Hatcheri Penetasan Ikan.
  • Hatcheri Penetasan Udang.
  • Hatcheri Pembiakbakaan Induk Udang Bebas Patogen Penyakit Tertentu

Pensijilan ladang bagi kategori ini menggunakan piawaian rujukan MS 1998:2017 – Good Aquaculture Practices (First Rivision).

Perkara utama yang menjadi kemestian bagi setiap pengusaha untuk patuh adalah melibatkan:

  • Pemilihan Tapak
  • Pembinaan Pusat Penetasan
  • Penyediaan Pusat Penetasan
  • Bekalan Induk
  • Makanan Induk / Anak
  • Penyimpanan Bahan Kimia
  • Pengurusan Air Pusat Penetasan
  • Tuaian dan Pengendalian Tuaian
  • Kawalan Penyakit (termasuk program analisa penyakit tertentu)
  • Kawalan Pemangsa dan Makhluk Perosak
  • Rentas Sempadan
  • Kebajikan, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja
  • Latihan
  • Dayajejak
  • Penyimpanan Rekod Ladang
  • Pengauditan Dalaman
  • Tanggungjawab Sosial
  • Kawalan Pembiakaan dalaman (inbreeding) – untuk pengeluaran induk

Pensijilan di bawah kategori ini merangkumi aktiviti pengeluaran ikan hiasan tropika termasuk di peringkat ladang, premis pengeksport dan premis pengimport, ternakan ikan dan spesies yang dilindungi serta diancam kepupusan di bawah Convention of International Trade for Endengered Species – CITES. Aktiviti akuakultur yang termasuk di dalam kategori ini adalah:

  • Ladang Ternakan Ikan Hiasan
  • Premis Pengeksport Ikan Hiasan
  • Premis Pengimport Ikan Hiasan
  • Premis Ternakan Ikan Hiasan CITES
  • Premis Pengeksport Ikan Hiasan CITES

Pensijilan bagi aktiviti ini menggunapakai rujukan piawaian MS 1998:2017 – Good Aquaculture Practices (First Rivision), Akta Perdagangan Antarabangsa bagi Spesis Terancam, 2011, CITES Convention sebagai dokumen utama rujukan pengauditan.

Perkara utama yang menjadi kemestian bagi setiap pengusaha untuk patuh adalah melibatkan:

  • Pemilihan Tapak
  • Pembinaan Ladang / Sangkar
  • Penyediaan Ladang
  • Bekalan Benih
  • Makanan Ternakan
  • Penyimpanan Bahan Kimia
  • Pengurusan Air Ternakan
  • Tuaian dan Pengendalian Tuaian
  • Kawalan Penyakit (termasuk program analisa penyakit tertentu)
  • Kawalan Pemangsa dan Makhluk Perosak
  • Rentas Sempadan
  • Kebajikan, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja
  • Latihan
  • Dayajejak
  • Penyimpanan Rekod Ladang
  • Pengauditan Dalaman
  • Tanggungjawab Sosial
  • Kawalan Pembiakaan dalaman (inbreeding)
  • Kawalan Populasi / Generasi
  • Penandaan Ikan
  • Kawalan Kualiti / Pengredan dan Kuarantina

Pensijilan di bawah kategori ini merangkumi aktiviti pengkulturan rumpai laut dan moluska. Aktiviti pengkulturan yang termasuk di dalam kategori ini adalah:

  • Pengusaha Rumpailaut Persendirian
  • Pengusaha Rumpai Laut (Kluster).
  • Mini-estate Rumpai Laut
  • Moluska

Pensijilan bagi aktiviti ini menggunapakai rujukan piawaian MS 1998:2017 – Good Aquaculture Practices (First Rivision) dan MS 2467:2012 – Code of Practices for Seaweed Cultivation sebagai dokumen utama rujukan pengauditan.

Perkara utama yang menjadi kemestian bagi setiap pengusaha untuk patuh adalah melibatkan:

  • Pemilihan Tapak
  • Pembinaan Ladang / Sangkar
  • Amalan Kultivasi
  • Penyediaan Ladang
  • Pengurusan Air Ternakan (didaratan)
  • Pemilihan Benih, penghantaran dan penkulturan.
  • Penyelenggaraan Benih Kultur
  • Kawalan Perosak, pemangsa dan kesihatan
  • Tuaian dan Pasca tuai
  • Spesies Eksotik
  • Kesihatan Pekerja
  • Dayajejak dan Penyimpanan Rekod Ladang
  • Keselamatan, Kebajikan dan Latihan Pekerjaan

Sijil Kualiti Ikan

Skim pensijilan ini pula adalah satu skim wajib kepada pembekal bahan mentah untuk tujuan eksport ke Kesatuan Eropah. Skim ini menawarkan sijil kepada kesemua aktiviti akuakultur seperti di atas (myGAP) dan aktiviti huluan perikanan seperti:-

Pensijilan di bawah kategori ini merangkumi aktiviti pengeluaran makanan ternakan ikan, kilang penghasilan tepung ikan, stor penyimpanan makanan ikan dan tepung ikan bagi pemprosesan lanjut bagi dijadikan makanan ternakan bukan untuk makanan manusia.Sistem pengeluaran yang boleh dikategorikan untuk dipersijilkan di bawah kategori ini adalah:

  1. Kilang Makanan Ikan.
  2. Kilang Pemporsesan Tepung Ikan.
  3. Stor Penyimpanan Makanan Ikan.

Pensijilan bagi kategori ini menggunakan piawaian rujukan:

  1. FAO Good Aquaculture Feed Manufacturing Practice, 2001.
  2. Akta Makanan Haiwan 2011 dan Peraturan-peraturan dibawahnya.
  3. MS 1514:2009 – GMP for Food (First Revision).
  4. MS 2538:2013 – Formulated Fish Feed – Specification.
  5. MS 277:2005 – Fish meal for animal feed – Specification (Second Revision).
  6. MS 2208:2009 Animal Feeding Stuffs – Code of Practice

Perkara utama yang menjadi kemestian bagi setiap pengusaha untuk patuh adalah melibatkan:

  • Pemilihan Tapak
  • Pembinaan Bangunan
  • Struktur Dalaman dan Pemasangan
  • Perkakasan Am
  • Kawalan Pemantauan dan Kalibrasi Peralatan
  • Fasiliti Kilang
  • Perparitan dan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal
  • Pembersihan dan Kawalan Perosak
  • Kemudahan Kebersihan Peribadi
  • Kawalan Kualiti
  • Pengaliran dan Kualiti Udara
  • Pencahayaan
  • Latihan
  • Ramuan – Sumber Pembelian
  • Penerimaan Bahan Mentah
  • Penyimpanan Bahan Mentah
  • Penyimpanan Bahan Bukan Ramuan
  • Formulasi dan Prosedur Pengilangan
  • Pemulangan Semula
  • Pengeluaran
  • Pembungkusan
  • Muatnaik, Angkut dan Edaran
  • Pemeriksaan, Pensampelan dan Ujian
  • Pelabelan
  • Rekod
  • Komen Pelanggan
  • Panggil semula
  • Keselamatan Am

Pensijilan di bawah kategori ini merangkumi aktiviti penangkapan ikan bagi vesel penangkapan ikan yang berlesen. Vesel yang boleh dipersijilkan di bawah kategori ini adalah:

  1. Vesel Penangkapan Ikan Operasi lebih 24 jam
  2. Vesel Penangkapan Tuna Laut Lepas
  3. Vesel Penangkapan Ikan Operasi Kurang 24 jam
  4. Vesel pengangkut ikan

Pensijilan bagi kategori ini menggunakan piawaian rujukan:

  1. Food and Agriculture Organization Manual (Hygiene requirements, controls and inspections in the fish market chain), 2013
  2. Manual of Good Hygiene Practice for Fishing Boats and Fish Landing Sites in Small Scale Fisheries, 2012

Perkara utama yang menjadi kemestian bagi setiap pengusaha untuk patuh adalah melibatkan:

  • Rekabentuk dan Bahan Binaan Vesel
  • Kawasan Pengendalian Ikan
  • Kawasan Penyimpanan Ikan
  • Kawalan Suhu Penyimpanan
  • Pengasingan Kawasan Simpanan
  • Permukaan Bersentuhan
  • Pengaliran Buangan dan Cairan Ais
  • Amalan Pembersihan
  • Pembersihan Gelongsor
  • Kebersihan Perkakasan dan Peralatan Vesel
  • Bekalan Ais
  • Aktiviti Pra Penangkapan Ikan
  • Proses Menangkap Ikan
  • Tuai dan Lepas Tuai
  • Pendaratan
  • Kesihatan Kru
  • Kebersihan Kawasan Umum
  • Pengurusan Perosak dan Sisa Pepejal

Perkhidmatan