Menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman Serta Segala Jajahan Takluknya yang sudi mencemar duli merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda Terengganu 2024 di perairan Alur Tuman, Marang.
.
Sebanyak 20 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda dilabuhkan pada hari ini merupakan sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan pada tahun ini melalui Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu. Program ini amat penting bagi pengurusan sumber perikanan Negeri Terengganu.
.
Baginda Tuanku Sultan juga melakukan selaman bagi meninjau sendiri tukun kuboid yang telah dilabuhkan sambil diiringi oleh YB. Dr Azman bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu.
.
Keberangkatan Baginda dan rombongan diiringi oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, YB. Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, YBhg. Dato’ Haji Adnan Bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, serta En. Ruzaidi bin Mamat, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu.
10 Oktober 2024