Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi RHB Islamic Bank yang diketuai oleh YBhg Dato’ Adissadikin bin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, ke Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia, Putrajaya.
Hasrat utama pihak RHB Islamic Bank bagi kunjungan ini adalah untuk sesi suai kenal dan perbincangan mengenai peluang kerjasama dua hala antara kedua-dua pihak. Pihak RHB juga telah memberikan penerangan berkaitan satu inisiatif yang bertujuan untuk menyokong hidupan marin iaitu Ocean Harmony.
Pihak jabatan berharap dapat mewujudkan peluang kerjasama dengan Pihak RHB dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan biodiversiti marin dan darat dengan menganjurkan pelbagai program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan meningkatkan sokongan terhadap pemuliharaan biodiversiti.
Hadir sama dalam sesi kunjungan ini ialah YBrs. Dr. Azhar bin Hamzah, Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan, Encik Nazri bin Ishak, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Strategik, Puan Khazlita Adzim binti Abdol Aziz, Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan, Puan Shamila binti Zainol, Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Encik Abdullah bin Jaafar, Pengarah Perikanan Negeri Pahang dan pegawai-pegawai perikanan dari ibu pejabat dan pegawai-pegawai dari RHB Islamic Bank.