Pilih satu Halaman

Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Jabatan Perikanan Malaysia dan Aquawalk Group. (Aquaria KLCC)

Utama » Aktiviti » Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Jabatan Perikanan Malaysia dan Aquawalk Group. (Aquaria KLCC)

13 Mei 2024

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Aquaria KLCC hari ini sebagai tanda persetujuan bagi bidang kerjasama berkaitan pengurusan dan pemuliharaan spesies akuatik terancam seperti penyu, mamalia marin dan batu karang.

MOU berkenaan telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Wan Muhammad Aznan bin Abdullah Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) dan Pengarah Urusan Aquawalk Group, YBhg. Dato’ Simon Foong dan disaksikan oleh YB Dato’ Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik, Ahli Parlimen Balik Pulau.

Pada majlis yang sama turut diadakan pra pelancaran Pusat Konservasi Marin di Hotel Angsana Telok Bahang dan pengisytiharan Pantai Telok Bahang sebagai sarang penyu bertelur. Kedua-dua usaha ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Aquawalk Group serta Hotel Angsana Telok Bahang dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertindak sebagai penasihat teknikal bagi usaha pemeliharaan dan rehabilitasi spesies terancam terutamanya penyu.

Berdasarkan rekod dari tahun 2019 hingga 2023, Pulau Pinang mencatatkan data pendaratan ibu penyu sebanyak 292 kali dan sebanyak 27,701 biji telur telah berjaya dikutip dan penetasan telur sebanyak 17,607 anak penyu. Dua spesies penyu yang dikenal pasti mendarat di sekitar pantai Pulau Pinang adalah penyu agar (Chelonia mydas) dan penyu lipas (Lepidochelys olivacea). Pendaratan reptilia ini tertumpu di Pantai Kerachut, Teluk Kampi dan Telok Bahang. Sepanjang tahun 2023, sebanyak 41,963 pelawat dari dalam dan luar negara direkodkan mengunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, DOF.

DOF sentiasa peka dengan isu pengurusan dan konservasi spesies terancam terutamanya berkaitan penyu. DOF melaksanakan aktiviti pengurusan dan penguatkuasaan penyu dengan merujuk kepada Akta Perikanan 1985 dan Kaedah- kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) atau Enakmen Penyu di bawah undang- undang kerajaan negeri dan sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta pemegang taruh lain seperti Badan Bukan Berkanun (NGO) untuk menjalankan aktiviti kesedaran kepada golongan sasar.