Pilih satu Halaman

DOF Jalin Kerjasama Tangani Spesies Ikan Asing

Utama » Aktiviti » DOF Jalin Kerjasama Tangani Spesies Ikan Asing

26 Mei 2024

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kerjasama Aquaria KLCC menganjurkan program memburu ikan asing di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil dengan penglibatan 200 orang peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, kelab komuniti pemburu ikan bandaraya, penduduk setempat serta institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Program memburu ikan asing ini diadakan sebagai salah satu usaha DOF dan komuniti bagi bersama-sama mengekang populasi spesies ikan asing invasif dari terus membanjiri perairan umum seterusnya menjejaskan spesies ikan asli dalam ekosistem perairan negara.

“Mutakhir ini, kehadiran spesies asing seperti ikan bandaraya atau pleco di perairan umum negara menjadi perhatian pelbagai pihak. DOF giat mempertingkatkan program kesedaran awam kepada golongan sasar bagi memperjelas kesan jangka masa panjang sekiranya ikan asing dilepaskan sewenang-wenangnya ke perairan umum.

DOF amat berbesar hati dengan kerjasama yang diterima dari pihak Aquaria KLCC, Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Perbadanan Stadium Malaysia, Bukit Jalil dalam usaha sama mengurangkan spesies ikan asing di Sungai Kuyoh ini,” Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan bin Hussain.

Aquaria KLCC sebagai rakan strategik bagi program ini juga turut membantu jabatan memberi pendedahan dan pendidikan mengenai bahaya ikan asing dalam ekosistem dan mendidik solusi yang efektif untuk menangani masalah ini melalui kempen Alien Invaders iaitu pameran beberapa spesies ikan asing di Aquaria KLCC yang telah bermula pada April sehingga Jun 2024.

Pengarah Eksekutif Aquawalk Sdn. Bhd, Daryl Foong berkata pihaknya memandang serius mengenai spesies asing invasif yang telah mendiami perairan negara. Usaha bersama sektor korporat melalui program pengesanan, pemantauan dan kesedaran diperlukan bagi memastikan objektif melindungi ekosistem perairan tercapai.