Pilih satu Halaman

Pelesenan

Utama » Soalan Lazim » Pelesenan

Pengeluaran lesen vesel dan peralatan menangkap ikan bagi Sampan, Zon A, Zon B dan Zon C

Pengeluaran bagi lesen-lesen tersebut di atas telah DIBEKUKAN.

Permohonan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan laut dalam

Pemohon perlu mengisi Borang LPI 1/95 yang disediakan dan menyediakan kertas kerja cadangan projek termasuk mengemukakan dokumen sokongan yang berkaitan. Borang LPI 1/95 dan juga panduan melengkapkan borang dan penyediaan kertas kerja cadangan projek boleh didapati dengan melayari laman web Jabatan.

Permohonan hendaklah dihantar terus ke Ibu Pejabat, Jabatan Perikanan Malaysia. Bagi yang tidak mempunyai kemudahan internet, borang permohonan ini juga boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan yang berhampiran dengan tempat tinggal anda.

 

Kawasan Operasi Nelayan Kecil

Nelayan kecil merujuk kepada nelayan yang menggunakan peralatan tradisional seperti pukat hanyut, bubu dan lain-lain. Bagi nelayan kategori ini, mereka dibenarkan untuk beroperasi dari 1 batu nautika – 5 batu nautika dan ke atas. Jabatan tidak menghadkan kawasan operasi bagi nelayan yang menggunakan sampan dan vesel bermuatan kurang 40 GRT dengan peralatan tradisional kerana peralatan tradisional ini lebih mesra sumber. Walau bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan beroperasi di perairan negeri di mana vesel mereka dilesenkan.

 

Menukar lesen vesel Zon B ke Zon C (ganti kulit) and tukar nama kepada nama syarikat (SDN BHD)

Permohonan penukaran lesen boleh dikemukakan serentak bagi tukar zon, ganti kulit, ganti enjin dan tukar peralatan (jika berkenaan) serta pindah milik daripada pemilik asal kepada syarikat. Namun, setiap permohonan yang telah diluluskan tidak boleh dibuat sebarang pindaan atau pertukaran. Sila berhubung dengan Pejabat Perikanan Daerah yang berkaitan bagi keterangan lanjut.

 

Pindahmilik Permit Sampan Nelayan Tradisi (kelas A)

Pindah milik lesen sampan hanya dibenarkan kepada isteri atau anak yang:

  • merupakan nelayan tulen.
  • tidak mempunyai vesel penangkapan ikan lain.
  • tidak mempunyai pekerjaan tetap serta akan mengusaha sendiri sampan tersebut.
  • mestilah penduduk setempat dan warganegara Malaysia.

Namun begitu bagi kes kematian, kelonggaran diberikan kepada pewaris yang bukan nelayan tulen untuk pindah milik kepada nelayan tulen lain. Ini hendaklah dilakukan dalam tempoh tidak melebihi 1 tahun setelah arahan daripada Amanah Raya/mahkamah/harta pusaka kecil diperolehi (jika melibatkan pewarisan/wasiat).

Maklumat lanjut berkaitan pindahmilik boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan Daerah.

 

Pertukaran pemilik lesen vesel sampan, Vesel Zon A dan B

Pertukaran pemilik lesen vesel sampan, Vesel zon A dan B hanya boleh dilakukan kepada nelayan tulen. Walaupun Amanah Raya telah mengeluarkan surat bagi pemilikan tersebut, vesel hendaklah dipindahmilik kepada nelayan tulen dalam tempoh setahun sama ada dijual atau diberi sebagai hadiah kepada nelayan tulen.

Nelayan tulen adalah nelayan yang mempunyai kad pendaftaran nelayan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia kepada nelayan yang terlibat secara langsung dalam industri untuk tempoh 120 hari setahun dan tiada pekerjaan lain.

Lesen Bot Tamat Tempoh

Lesen bot yang telah tamat tempoh boleh diperbaharui di Pejabat Perikanan Daerah yang berhampiran di mana bot tersebut dilesenkan dengan mengemukakan buku lesen dan kad nelayan. Bagi tujuan tukar nama pemilik, jika tiada wasiat dibuat, perakuan daripada Amanah Raya perlu diperolehi (mungkin mengambil masa).

Keterangan lanjut boleh diperolehi daripada pegawai di Pejabat Perikanan Daerah berhampiran.

 

Lesen Kebenaran Aktiviti Penangkapan

Aktiviti penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan dan bot/vesel/sampan adalah tertakluk di bawah Akta Perikanan 1985 dan peralatan serta vesel hendaklah dilesenkan. Lesen sampan hanya dikeluarkan kepada nelayan tulen dan Jabatan Perikanan Malaysia juga tiada mengeluarkan lesen sampan buat masa ini. Akan tetapi, membawa pemancing bagi tujuan aktiviti rekreasi adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan anda boleh memohon permit daripada agensi tersebut. Namun, permit tersebut bukan sebagai lesen kebenaran untuk anda menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan menangkap ikan selain membawa pemancing.

Sila berhubung dengan Pejabat Perikanan Daerah atau Jabatan Laut berhampiran untuk keterangan lanjut bagi mengelakkan sampan dirampas atau didenda.

 

Permohonan Lesen dan Kad Nelayan

Jabatan Perikanan Malaysia tidak mengeluarkan lesen nelayan. Sebaliknya, Jabatan ini mengeluarkan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan serta mengeluarkan kad nelayan kepada nelayan tulen. Permohonan bagi lesen vesel dan kad nelayan diproses oleh Bahagian Perikanan Tangkapan & Pelesenan. Bahagian ini bertanggungjawab untuk menguruskan pengeluaran:

  • lesen vesel dan peralatan menangkap ikan tradisional
  • lesen komersial laut dalam (c2)
  • lesen menangkap ikan tuna
  • lesen kultur laut (SKL)
  • lesen menunggu peranti pengumpul ikan (MPPI)
  • memproses permohonan kad nelayan bagi nelayan tempatan dan juga kru asing bagi nelayan asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan

Walau bagaimanapun, buat masa ini, semua lesen baharu bagi penangkapan ikan laut pantai dan laut dalam telah dibekukan.