Pilih satu Halaman

Akuakultur

Utama » Soalan Lazim » Akuakultur

Akuaponik

Akuaponik merupakan singkatan kepada perkataan Akuakultur Hidroponik iaitu sistem integrasi antara aktiviti akuakultur dan tanaman sayuran secara hidroponik di dalam sebuah bekas ternakan (tangki/kolam). Dalam bahasa yang mudah bermakna menternak ikan di dalam tangki bersama-sama sayuran di mana hasil yang bakal diperolehi adalah ikan dan sayur-sayuran. Ikan yang diternak bukanlah dari jenis ikan yang memakan tumbuhan tetapi sebaliknya ikan yang diternak merupakan ikan-ikan kecil yang tidak memakan tumbuhan iaitu ikan hiasan seperti ikan guppy, platy, molly dan sebagainya.Ikan makan yang sesuai diternak dengan cara ini adalah ikan sepat, puyu, haruan dan keli. Jenis sayuran yang sesuai adalah kangkong, sayuran dedaun hijau yang diapung di dalam tangki menggunakan gabus atau polisterina. Tumbuhan yang terdapat di dalam sistem ini akan menyerap nutrien di dalam air yang terhasil dari najis ikan dan sisa makanan. (Tumbuhan sebagai biological filter)Dengan adanya penyerapan nutrien oleh tumbuhan maka air akan menjadi jernih, kualiti air bertambah baik dan ekosistem dalam tangki tersebut akan lebih seimbang dan ikan dapat hidup dengan sihat dan membesar. Tumbuhan yang ditempatkan di dalam tangki ternakan mestilah tidak melebihi 1/3 dari luas permukaan tangki agar cahaya matahari dapat masuk sehingga ke dasar tangki dan akan menggalakkan pertumbuhan plankton sebagai makanan semulajadi kepada ikan yang diternak.Sekiranya ada pertanyaan, anda boleh menghubungi Cawangan Akuakultur Marin, Ibu Pejabat Perikanan Putrajaya Tel : 03-88704784.

Cara menternak Ikan Keli dalam kanvas

Ikan keli boleh diternak dalam takungan seperti kolam, tangki gentian kaca (fibre glass), tangki simen dan tangki kanvas. Ternakan menggunakan sistem kanvas merupakan satu inovasi baru untuk bidang akuakultur dan telah dimulakan sejak 2006. Ternakan dijalankan dalam set ternakan dengan bingkai berukuran 4.5 m x 1.2 m x 1 m dan diliputi dengan kanvas yang berkualiti tinggi dan tahan kepada perubahan cuaca. Kedalaman air dalam takungan kanvas adalah 0.4 m. Benih ikan keli bersaiz 3 inci atau 10 gm ke atas dilepaskan dengan kadar pelepasan 129 ekor/m2. Ikan-ikan ini diberi makan dengan makanan rumusan bagi menjamin kualiti ikan yang diternak dan menjaga tempoh guna sistem tersebut.

Tempoh ternakan ikan keli ini adalah selama 3 bulan untuk mencapai saiz pasaran (6 ekor/kg). Harga seunit tangki dianggarkan RM 1,200.00 – RM 2,400.00. Set ternakan boleh diperolehi melalui pembekal-pembekal yang disyorkan oleh Jabatan Perikanan. Senarai hatceri yang mengeluarkan benih ikan keli boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan Daerah di setiap negeri. Jabatan juga telah menghasilkan risalah untuk rujukan penternak. Pamplet berkenaan boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan Negeri atau daripada Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi, Ibu Pejabat Perikanan, Putrajaya.

 

Cara memulakan projek menternak udang galah

Bagi memulakan projek ternakan Udang Galah, penternak perlu memastikan tapak tanah yang dipilih sesuai dengan jenis ternakan yang hendak dibuat. Tapak mestilah berdekatan dengan sungai air tawar dan bebas daripada pencemaran. Udang Galah lebih sesuai diternak dalam kolam tanah dan penternak perlu memastikan bekalan air juga mencukupi untuk sepanjang tempoh ternakan. Bentuk kolam yang disyorkan adalah kolam empat segi tepat bersaiz 0.2 ha dengan kedalaman 1.2 m. Adalah dianggarkan kos pembinaan kolam tanah bersaiz 0.1 ha lengkap dengan inlet dan outlet adalah lebih kurang RM 2,000 – RM 2,500. Kadar tebaran yang disyorkan adalah di antara 10-20 ekor/m2 dan penggunaan alat pengudaraan seperti paddle wheel adalah perlu. Ternakan Udang Galah secara komersial adalah bergantung kepada makanan rumusan yang mengandungi kandungan protein di antara 28-35%. Jangkamasa ternakan ialah di antara 5-6 bulan (saiz hasil 25 gm – 30 gm seekor).

Anda boleh menghubungi Bahagian Akuakultur ibu pejabat yang berkaitan kursus Ternakan Udang Galah atau mana-mana Pejabat Perikanan Negeri dan Daerah di tempat anda bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengusaha hatceri dan pembekal peralatan. Nombor telefon dan alamat boleh diperolehi daripada Direktori Jabatan di laman web.

 

Cara menternak ikan air tawar dalam tangki simen

Ternakan ikan air tawar seperti ikan Tilapia Merah, Keli dan Puyu boleh dijalankan dalam tangki simen atau konkrit yang bersaiz 500 m2 (50 m x10 m). Dianggarkan kos pembinaan tangki simen adalah di antara RM 8,000 – RM 10,000 seunit lengkap dengan inlet dan outlet. Adalah disyorkan stocking atau tebaran benih ikan bagi sistem tangki simen ialah 15 ekor/m2. Cara pemberian makanan dan pengurusan air adalah sama seperti sistem-sistem lain dan keutamaan diberikan kepada makanan rumusan. Bagi ternakan dalam tangki simen, adalah dicadangkan digunakan alat pengudaraan tambahan, seperti paddle wheel atau blower bagi meningkatkan kadar hidup (survival rate) ikan.

Jabatan Perikanan Malaysia juga ada menawarkan kursus berjadual dan latihan sangkut bagi sektor akuakultur tetapi terhad kepada sistem kolam tanah, tangki simen dan sangkar sahaja. Untuk memohon mengikuti kursus, boleh dilakukan secara dalam talian atau berurusan dengan Pejabat Perikanan Daerah. Penternak boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tangki berkenaan daripada Pejabat Perikanan Negeri yang berhampiran. Alamat bagi PPN boleh diperolehi daripada laman web Jabatan Perikanan Malaysia di bahagian Direktori Jabatan.

 

Bantuan yang boleh diperolehi daripada Jabatan Perikanan bagi bidang Akuakultur

  1. Khidmat nasihat dan teknikal dari semasa ke semasa.
  2. Bantuan pinjaman peralatan untuk sistem ternakan, bergantung kepada jenis dan kos yang diperuntukkan kepada Jabatan.
  3. Bantuan teknikal dari segi kajian mutu air, kajian tanah dan kajian tapak.
  4. Bekalan benih percuma bagi penternak kecil dan kali pertama memohon serta terhad bagi pusingan pertama sahaja.
  5. Latihan sangkut dan kursus akuakultur

Untuk memohon bantuan sila hubungi Pejabat Perikanan Daerah berhampiran dengan kawasan projek atau Pejabat Perikanan Negeri atau Ibu pejabat Perikanan sendiri. Alamat dan no telefon boleh diperolehi daripada laman web Jabatan di https://www.dof.gov.my/hubungi/lokasi/.

Ternakan Belut

Pihak Jabatan sedang giat mempromosikan ternakan ikan air tawar terutamanya ikan Tilapia dan Keli. Walau bagaimanapun, buat masa ini pihak Jabatan tidak mempunyai sebarang penerbitan mahu pun kursus yang berkaitan ternakan spesis belut. Pihak kami mencadangkan anda merujuk ke Pejabat Perikanan Daerah @ Negeri yang terdekat bagi mendapatkan maklumat berkaitan. Anda juga digalakkan untuk menghubungi pejabat-pejabat berkenaan dengan merujuk laman web Jabatan Perikanan Malaysia untuk maklumat terkini sebagai panduan.

 

Pembenihan Ikan Marin

Bagi anda yang baru hendak menceburi bidang pembenihan ikan marin, anda perlu menghadiri Kursus Pembenihan Ikan Marin dan Kursus Ternakan Ikan Marin yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan di Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Ikan Laut Tanjung Demong, Besut, Terengganu. Sila layari e-latihan dalam laman web Jabatan Perikanan.

 

Ikan Hiasan

Sebelum menceburi dalam industri/perniagaan dalam bidang ikan hiasan, anda perlulah ada maklumat dan pengetahuan dalam biologi ikan hiasan. Jabatan ada menyediakan kursus yang bersesuaian kepada bakal pengusaha dan maklumat boleh diperolehi di Laman web Jabatan Perikanan Malaysia. Kursus diadakan di Pusat Ikan Hiasan Enggor, Kuala Kangsar, Perak. Jabatan hanya memberi khidmat nasihat manakala pinjaman boleh dipohon di Agro Bank yang berdekatan atau mana-mana bank yang lain.

 

Ikan Akuarium

Sekiranya anda hendak mengeksport ikan hidup dari/ke luar negara, anda perlu mempunyai lesen daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum boleh memohon permit import/eksport ikan hidup daripada Jabatan Perikanan melalui sistem e-permit. Permit CITES pula diperlukan sekiranya spesis tersebut tersenarai di dalam senarai CITES (Convensyen on International Trade of Endangered Species).

 

Penternakan Ketam

Sistem ternakan tertutup dalam kotak gentian kaca (fiber glass) masih belum terbukti keberkesanannya/daya maju. Anda dicadangkan untuk menternak ketam nipah dalam sistem:

  • Kepungan dalam paya bakau;
  • Kolam tanah; atau
  • Sistem ternakan bersepadu dalam rakit terapung untuk ketam padat/pembesaran dan ketam lembut

Harga purata ketam adalah RM 22/kg manakala kos pengeluaran pula dianggarkan RM 15 – 16/kg. Hasil pengeluaran minima adalah 1000 kg/bulan, di mana pendapatan pengusaha adalah dalam lingkungan RM 3,000/bulan. Untuk pendapatan RM 30,000/bulan, pengeluaran mestilah melebihi 10 tan/bulan. Kos ternakan bergantung kepada jenis sistem ternakan yang dibuat.

 

Ikan Laut

Ikan laut atau ikan marin boleh diternak di dalam tangki seperti di dalam tangki simen, tangki gentian kaca (fiber glass) dan tangki PE dengan sistem RAS (Recirculating Aquaculture System). Dalam sistem RAS ini, ikan marin diternak secara intensif di mana air dialirkan sepanjang masa ternakan, di mana air dari tangki ternakan dialirkan ke dalam sistem penapis yang terdiri dari penapis fizikal seperti sand filter, penapis kimia seperti protein scema dan penapis biologi dan akhirnya air ini akan melalui ozon atau lampu sinar ultra ungu sebelum dialirkan semula ke dalam tangki ternakan. Ini bermakna air yang dialirkan semula ke dalam tangki ternakan adalah bersih dan selamat untuk ikan hidup. Ikan yang diternak akan diberi makanan rumusan dan ikan baja.

Untuk memahami sistem ternakan ikan marin dalam tangki, anda boleh mengikuti Kursus Ternakan Ikan Marin Dalam Tangki di Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Ikan Laut Tanjung Demong, Besut, Terengganu. Sila hubungi talian 09-6958 626 untuk mendapat maklumat berkaitan kursus dan sistem ternakan tersebut.

 

Bantuan Kewangan

Jabatan  Perikanan ada menjalankan program bantuan di bawah Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur (SPeKs). Sekiranya anda memenuhi syarat program tersebut, anda layak menerima bantuan benih, makanan serta peralatan sokongan untuk ternakan anda. Namun sebelum itu, anda adalah digalakkan untuk berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia terlebih dahulu.

Anda boleh memanjangkan permohonan bantuan tersebut ke Pejabat Perikanan terdekat kerana ia perlu melalui peringkat daerah terlebih dahulu, kemudian negeri sebelum dipanjangkan ke peringkat ibupejabat. Anda boleh menghubungi pejabat-pejabat Perikanan tersebut dengan merujuk kepada senarai lokasi pejabat di Laman Web Jabatan Perikanan Malaysia: https://www.dof.gov.my/hubungi/lokasi/.

Jabatan Perikanan juga menyediakan bantuan khidmat nasihat serta kursus kepada orang awam yang berminat. Jadual serta permohonan kursus boleh didapati di sistem e-latihan di laman web rasmi Jabatan seperti di atas.

Pada masa ini, Jabatan masih di dalam perancangan untuk membina pusat pengumpulan mengikut zon. Hal ini kerana, pemasaran hasil pertanian adalah dibawah FAMA. Anda dinasihatkan untuk mencari pasaran sendiri seperti restoran dan hotel di mana harga yang ditawarkan adalah lebih tinggi berbanding dijual kepada peraih.

 

Pasaran Ikan

Anda boleh menghubungi cawangan FAMA di negeri anda bagi mendapatkan pusat pengumpulan hasil pertanian terdekat untuk pasaran ikan air tawar. Anda juga boleh mendapatkan maklumat pemborong atau agen pengumpul hasil perikanan daripada Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri di tempat projek anda.

 

Perternakan Ikan Air Tawar

Bagi memulakan projek akuakultur, anda perlu memastikan perkara-perkara berikut terlebih dahulu:

  1. Tapak tanah yang dipilih sesuai dengan jenis ternakan yang hendak dibuat.
  2. Tapak mestilah berdekatan dengan sungai air tawar.
  3. Jenis sistem yang hendak dibuat; sama ada kolam tanah, tangki konkrit, tangki simen atau sangkar.
  4. Bekalan air mencukupi untuk pusingan ternakan.
  5. Mempunyai sumber air berterusan.

Kemudian, barulah anda boleh meneruskan projek dengan lebih lancar dari segi pengurusan. Jabatan ada menerbitkan pelbagai buku ternakan ikan air tawar. Ianya boleh diperolehi daripada Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi, Jabatan Perikanan Malaysia, Putrajaya.

Anda hanya perlu mendaftar di Pejabat Perikanan Negeri (tiada bayaran dikenakan) bagi mendapatkan segala maklumat lanjut. No. telefon dan alamat pejabat boleh didapati di lokasi pejabat di Laman web Jabatan Perikanan Malaysia.

 

Penternakan Ikan Kelah

Kelah (Tor spp.) adalah sejenis ikan air tawar dalam famili Cyprinidae yang mendiami kawasan hulu sungai di tanah tinggi yang mempunyai kualiti air bersih tanpa pencemaran. Ikan ini masih belum diternak secara komersial kerana kaedah ternakan yang sesuai belum ditemui. Setiap projek ternakan haruslah berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia. Walau bagaimanapun, anda boleh mendapatkan keterangan lanjut dari Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri yang berhampiran.

 

Potensi pasaran dan pengkomersilan ternakan Udang Kara Air Tawar masa kini

Udang Kara Air Tawar (Red Claw) atau Blue Crayfish (Cherax quadricarinatus) merupakan spesies yang berasal dari Australia. Ia mempunyai warna yang menarik iaitu kebiru-biruan dan berbintik putih. Spesis ini paling sesuai hidup di air tawar dalam keadaan pH 7. Saiz matang udang ini adalah dalam lingkungan 8 inci hingga 14 inci. Ia telah diperkenalkan di seluruh dunia sebagai spesis peliharaan dan juga untuk industri akuakultur. Walau bagaimanapun, beberapa kajian telah menyatakan bahawa udang ini telah memberi impak yang tidak menyenangkan. Beberapa kajian di Australia telah menjumpai perkaitan kultur udang “Red Claw” ini dengan penyakit berjangkit. Contohnya, penyakit parasit seperti Rikettsia dikaitkan dengan penyakit berjangkit kepada manusia (Romero & Jimenez, 2002) dan parasit ini telah dijumpai di dalam beberapa udang kara “Red Claw” yang diternak di Australia. Di beberapa buah ladang ternak udang kara yang lain, jangkitan virus menyerupai Parvoviridae telah menyebabkan kematian yang tinggi dan ini menambahkan lagi kebimbangan mengenai penyakit yang dibawa oleh Udang Kara “Red Claw” ini (Bowater et al, 2002).

Jabatan pada dasarnya memandang serius kemasukan spesies tersebut dan langkah berjaga-jaga perlu dilakukan bagi memastikan spesies tersebut tidak invesif dan menjadi pemangsa kepada spesis-spesis  tempatan sekiranya ia terlepas ke perairan luar. Perkara ini adalah perlu dilaksanakan bagi memastikan spesis udang kara air tawar yang akan diternak tersebut selamat dan tidak merbahaya, tidak mendominasi sesuatu perairan dan mengancam spesis tempatan yang lain. Oleh itu, pengusaha yang ingin membawa masuk dan menjalankan ternakan ini perlu mendapatkan kelulusan rasmi dan syarat berikut perlu dipatuhi:

  1. Kelulusan untuk mengimport “Red Claw” yang hidup hanya terhad kepada spesis Cherax quadricarinatus untuk tujuan ternakan sahaja.
  2. Setiap konsainan yang membawa “Red Claw” perlu disertakan bersama Sijil Kesihatan (Health Certificate) dan juga Sijil Tempasal (Certificate of Origin) yang dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab (Competent Authority) negara pengeksport.
  3. Hanya “Red Claw” yang hidup bersaiz tidak kurang dari 50 gm dibenarkan untuk diimport. Pengangkutan bagi induk betina adalah tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat kes pengimportan “Red Claw” yang melebihi saiz 50 gm, pengimport perlu mematuhi prosedur kuarantin serta menyediakan dokumen berkaitan dari pihak bertanggungjawab (Competent Authority) negara pengeksport.
  4. Sebarang aktiviti yang melibatkan ternakan “Red Claw” perlu mendapat kelulusan dari Jabatan Perikanan Malaysia. Sebarang pengangkutan terhadap ternakan yang melibatkan pengangkutan dari satu premis ke premis yang lain juga perlu mendapat kebenaran dari Jabatan Perikanan Malaysia.
  5. Penternak perlu mengamalkan sistem ternakan yang terkawal, termasuk mengambil kira tindakan untuk menghalang spesis ini dari terlepas ke perairan umum. Langkah-langkah seperti memagar di sekeliling kawasan ternakan dan menyediakan kawasan khas sebagai kolam rawatan untuk air buangan adalah dicadangkan.
  6. Sebarang penjualan atau pergerakan spesis “Red Claw” yang hidup di dalam negara juga perlu mendapat kelulusan dari Jabatan Perikanan Malaysia.
  7. Premis ternakan serta kemudahan yang disediakan untuk menternak spesis ini perlu dipantau/diperiksa dari semasa ke semasa oleh pihak Jabatan Perikanan Malaysia bagi memastikan semua garis panduan ini diikuti.

Ikan nilai tinggi dalam pasaran

Jabatan Perikanan telah mensasarkan ikan Tilapia Merah dan Keli di samping Udang Galah untuk diternak seluruh Malaysia. Di samping mudah untuk diternak, spesis ini juga agak stabil di pasaran. Walau bagaimanapun, anda boleh memilih untuk menternak ikan lain seperti Patin, Jelawat, Kelah, Baung atau lain-lain ikan asli yang bernilai tinggi.

Anda boleh menghubungi Pejabat Perikanan Negeri di tempat anda. Nombor telefon dan alamat boleh diperolehi daripada laman web Jabatan Perikanan Malaysia.

 

Ikan Haruan

Ikan Haruan adalah spesis ikan kanibalistik dan teritorial. Ini menunjukkan ia tidak sesuai diternak dalam takungan yang kecil. Sistem yang sesuai adalah kolam tanah. Taburan ikan dalam kolam ialah 5 ekor ikan setiap meter persegi.

Anda boleh menghubungi Pejabat Perikanan Negeri di tempat anda atau Pusat Pengembangan Akuakultur berhampiran. Nombor telefon dan alamat boleh diperolehi daripada laman web Jabatan Perikanan Malaysia.

Benih Ikan Gourami (Spesis Kaloi)

Sekiranya anda ingin mendapatkan benih Ikan Gourami, anda bolehlah berhubung dengan direktori pembekal air tawar atau berhubung dengan Pejabat Perikanan Negeri yang berdekatan. Untuk makluman anda, ikan ini sangat mudah dipelihara kerana tahan lasak dan memakan semua jenis makanan yang diberikan.

 

Ketam Nipah

Cara ternakan Ketam Nipah adalah:

  1. Dalam kolam tanah – pembesaran
  2. Dalam sangkar – pembesaran
  3. Dalam tangki simen – ketam lembut
  4. Dalam tangki gentian kaca (fiber glass) – ketam lembut

Kawasan penternakan mestilah merupakan kawasan tanah liat dan boleh menampung air, berdekatan punca air laut salaniti/kemasinan 15 – 30 ppt. Kadar pH air mestilah 6, 7 dan 8. Makanan ternakan terdiri daripada ikan baja segar, ikan baja dikisar, isi ikan dikukus, isi kerang dan isi kupang. Penyakit akan kurang diperolehi jika kualiti air ternakan dijaga. Pasaran harga ketam padat (saiz > 250 gm/ekor) betina adalah RM 25 – 28/kg, manakala jantan pula RM 20 – 25/Kg. Ketam lembut bersaiz di antara 120 – 180 gm/ekor berharga antara RM 25 – 30/Kg.

Keracunan histamin dalam ikan/produk akuakultur di Malaysia

Jabatan Perikanan ada menjalankan pemantauan tahunan ke atas kandungan histamin bagi ikan tangkapan dari jenis pelagik melalui Program Sanitary and Phytosanitary Marin (SPS Marin) dan Hygiene On Board (HOB). Kedua-dua program ini dijalankan secara tahunan bagi memenuhi keperluan eksport ke Kesatuan Eropah.

Pada umumnya, kandungan histamin dalam ikan marin yang didaratkan adalah sebanyak 30 ppm yang ditemui dari sampel ikan bilis di Langkawi dan budu. Penentuan kehadiran histamin dalam produk akuakultur di Malaysia tidak dijalankan kerana faktor kewujudan histamin hanya melibatkan ikan-ikan dari jenis pelagik sahaja.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh berhubung terus dengan Cawangan Kesihatan Ikan dan Awam, Bahagian Biosekuriti Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia berhubung perkara ini. Kajian terperinci mengenai kandungan histamin dalam ikan telah dijalankan oleh pihak MFFRD, Singapura. Laporan bertulis mengenai penemuan kajian berkenaan boleh diperolehi dari pihak berkenaan.

 

Syarat-syarat dan prosedur pergerakan Ikan Arowana dari Semenanjung Malaysia ke Sabah/Sarawak

Ikan Arowana yang hendak dibawa dari Semenanjung Malaysia ke Sabah/Sarawak perlu disertakan bersama dengan dokumen berikut:

  1. Sijil Tempasal (Certificate Of Origin) dari Unit Biosekuriti Perikanan, Pejabat Perikanan Negeri di negeri asal di mana ikan tersebut diternak.
  2. Permit angkut ikan hidup yang dikeluarkan oleh pihak MAQIS.
  3. Lesen perniagaan ikan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Ikan arowana berkenaan juga perlu dipasang dengan cip Passive Integrated Transponder (PIT) sepertimana yang disenaraikan dalam Sijil Tempasal.

Pelaksanaan Pensijilan Kesatuan Eropah (EU)

Maklumat berkenaan sijil dan syarat yang diperlukan di peringkat hatcheri bagi memenuhi keperluan EU telah disediakan di laman web rasmi Jabatan Perikanan Malaysia. Anda boleh melayari laman web jabatan dan mendapatkan maklumat melalui dokumen muat turun Kit Penerangan – Syarat dan Prosedur Keperluan Kepada Ladang Yang Diluluskan Untuk Eksport Ikan dan Hasilan Ikan Ke Kesatuan Eropah (EU) 2009.

Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Unit Biosekuriti Perikanan Negeri atau Bahagian Biosekuriti Perikanan, Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia.

 

Sistem Penternakan di Malaysia

Terdapat beberapa sistem ternakan yang digunakan untuk menternak ikan seperti; kolam, sangkar, tangki dan kepungan. Di antara sistem yang dinyatakan, sangkar adalah sistem yang lazim digunakan kerana terdapatnya badan air yang banyak sama ada sungai, tasik ataupun perairan laut. Sistem ini digunakan untuk kedua-dua spesis ikan marin dan air tawar.

Sementara itu, kepungan (pen culture) jarang digunakan bagi skala ternakan yang besar/komersial. Ia hanya digunakan oleh pengusaha kecil sama ada di kawasan tasik atau di perairan laut yang cetek. Ini kerana struktur kepungan daripada net dipasang hingga ke dasar dan berbeza dengan sistem sangkar yang terapung. Bagi sangkar ikan pula, selain dari sangkar empat segi telah ada sangkar berbentuk bulat yang mempunyai diameter besar, contohnya 18 – 20 meter. Sistem ini digunakan oleh pengusaha berskala komersial kerana memerlukan kos perolehan alat dan pengendalian ternakan yang mahal.

 

Tanah yang sesuai untuk ternakan Arowana

Tanah yang sesuai untuk ternakan Arowana adalah dari jenis tanah liat berpasir (kandungan tanah liat 55% – 60%) dan bekalan air sepanjang tahun dari sumber semulajadi seperti air bukit, sungai, empangan dan tasik.

Kualiti air adalah seperti berikut:

  • Suhu 29 – 31 °C
  • pH 6.5 – 8.5
  • Oksigen terlarut 5 ppm
  • Alkaliniti 60 -100 ppm CaCO3
  • Keliatan 100 ppm
  • Kekeruhan 30 cm dan
  • Ammonia 1 ppm

pH tanah mempengaruhi kualiti air. Oleh itu pengapuran perlu dibuat bagi tanah yang berasid dan kuantiti kapur yang diperlukan adalah bergantung kepada keasidan tanah. Pembajaan tanah boleh dilakukan dengan menggunakan baja organan atau bukan organan dengan kepekatan Nitrogen 0.95 ppm dan Fosforus 0.15 ppm.

 

Eksport Produk

Untuk tujuan eksport produk seperti ikan bilis, anda perlu mendapatkan Lesen Pengeksport dan Pengimport dari pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Sehubungan itu, anda perlu menghubungi pihak LKIM bagi tujuan permohonan lesen berkenaan.