Pilih satu Halaman

OPERASI BERSEPADU PENGUATKUASAAN PREMIS IKAN HIASAN DI PUDU

Utama » Aktiviti » OPERASI BERSEPADU PENGUATKUASAAN PREMIS IKAN HIASAN DI PUDU

6 Mac 2026

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bersama Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman telah melaksanakan operasi bersepadu penguatkuasaan di beberapa premis ikan hiasan sekitar Jalan Pudu, Kuala Lumpur bagi membanteras penjualan spesies ikan larangan.

Hasil pemeriksaan mengejut yang melibatkan 42 anggota penguat kuasa, pelbagai spesies ikan larangan seperti Arapaima, Sturgeon, Peacock Bass, Pacu dan Baung Ekor Merah Amazon telah disita. Spesies ini dikenal pasti berisiko tinggi kerana bersifat invasif serta boleh menjejaskan biodiversiti dan populasi ikan tempatan sekiranya dilepaskan ke perairan umum.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM35,674.00 dan kesemua spesies yang disita akan ditempatkan di Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor, KLIA bagi tindakan lanjut. Pemeriksaan turut mendapati enam premis melakukan kesalahan tidak mempunyai permit dan lesen bagi menjalankan aktiviti akuakultur.

Operasi ini dilaksanakan di bawah Akta Perikanan 1985 [Akta 317], Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, dsb., bagi Ikan) 1990 (Pindaan 2024), Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) W.P. Kuala Lumpur & W.P. Labuan 2017 serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Perikanan Malaysia dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta mengawal peredaran spesies asing demi melindungi biodiversiti perairan dan memastikan kelestarian sumber perikanan negara.

Orang awam dan pengusaha premis dinasihatkan supaya mendapatkan rujukan daripada Pejabat Perikanan terdekat sebelum memiliki atau memperdagangkan spesies ikan asing bagi mengelakkan tindakan undang-undang.