Select Page

Turtle and Endangered Marine Species Research

Home » Services » Researches » Turtle and Endangered Marine Species Research

Mukim Rantau Abang terletak di daerah Dungun, Terengganu. Dengan jarak 22 kilometer menghala ke selatan Dungun dan 80 kilometer menghala ke utara Kuala Terengganu. Rantau Abang menjadi kawasan pelancongan seawal tahun 1970-an. Rantau Abang amat terkenal kerana menjadi satu-satunya tempat pendaratan Penyu Belimbing di Malaysia dan salah satu daripada enam (6) lokasi pendaratan di dunia. Hal ini menjadi tarikan kepada penduduk dalam dan luar negara untuk datang ke Rantau Abang bagi menyaksikan sendiri Penyu Belimbing ini.

Kerajaan Malaysia berusaha untuk memulihara spesies penyu dengan menjalankan kajian bagi kelestarian Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea) dan spesies penyu yang lain seperti Penyu Agar (Chelonia mydas), Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Lipas (Lepidochelys olivacea). Hasil usaha ini, kerajaan telah mendirikan Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang atau dulunya dikenali sebagai Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Ianya mula dibina pada tahun 1998 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2001.

Penyelidikan saintifik telah dijalankan ke atas spesies marin terancam oleh FRI Rantau Abang (FRIRA) bagi membekalkan maklumat dan pengetahuan sebagai asas di dalam perumusan dasar dan strategi pembangunan serta pengurusan perikanan mapan negara. Program-program pemuliharaan perikanan khusus mengenai spesies marin terancam dijalankan menerusi pendidikan, kesedaran awam, latihan, khidmat teknikal dan lain-lain program berkaitan.

FRI Rantau Abang menjadi Pusat Kecemerlangan bagi Penyelidikan dan Konservasi Penyu, Mamalia Marin dan Spesies Marin Terancam di Malaysia selain bertanggungjawab sebagai Pusat Rujukan Menyelamat Penyu dan Spesies Terancam Malaysia. FRI Rantau Abang juga melaksanakan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan memulihara penyu dan spesies marin terancam. Selain itu juga FRIRA menjadi pusat rujukan menyelamat dan konservasi penyu serta spesies marin terancam dalam negara dan antarabangsa dan mendapat nama timangan sebagai Hospital Penyu Malaysia kerana banyak menyelesaikan kes kedamparan penyu sakit dan cedera. Semua penyu yang telah sihat sepenuhnya dilepaskan semula ke laut supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup. Kejayaan ini dikongsi bersama Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Vaterinar, Universiti Tempatan dan NGO yang terlibat.

Perairan Pantai Rantau Abang telah digazet sebagai Kawasan Larangan Perikanan Rantau Abang di dalam Syeksen 61 Akta Perikanan 1985 – Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan Rantau Abang 1991). Di mana kawasan yang dinyatakan ini adalah kawasan larangan perikanan, sejauh lebih kurang 30.7 kilometer panjang pantai berpasir, dalam masa sama menjadi habitat kepada empat (4) spesies penyu naik bersarang sejak dahulu lagi. Antara spesies penyu tersebut adalah Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea), Penyu Agar (Chelonia mydas), Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Lipas (Lepidochelys olivacea). Jenis pasir pantai di sini sememangnya sangat sesuai bagi persarangan penyu demi kelangsungan spesies tersebut. Oleh itu kawasan santuari Rantau Abang ini haruslah dipelihara dengan sebaik mungkin supaya ekosistemnya tidak dimusnahkan di masa hadapan.

Services