Select Page

Document of Fish/Shrimp Traceability

Dokumen Dayajejak merupakan satu dokumen berpindah daripada pengeluar primer (ladang ternakan ikan / udang) sehingga ke penerima akhir, seperti pengeksport ataupun pengilang yang mengeksport produk sejuk beku keluar negara.  Dokumen ini berupaya memberikan maklumat yang lengkap dan tepat untuk mengesan lokasi sumber asal hasil tuaian akuakultur Malaysia.  Dokumen ini perlu diisikan diperingkat ladang dan bergerak bersama dengan hasil tuaian ladang ke kilang ataupun premis pengeksport hasilan akuakultur Malaysia.

Objektif

  1. Untuk memastikan sumber tuaian akuakultur diperolehi daripada ladang ternakan udang/ikan tempatan yang berdaftar dan berada di bawah seliaan Jabatan Perikanan Malaysia.
  2. Untuk memastikan setiap ladang mempunyai bukti rekod tuaian dan pembeli sahih yang sentiasa dikemaskini.
  3. Membolehkan agensi pengeluar sijil membuat semakan kesahihan aktiviti pergerakan komoditi melalui pemeriksaan mengejut/audit survalen.

Skop

Garispanduan ini disediakan bagi memperjelaskan mengenai kaedah pelaksanaan dan penggunaan borang dayajejak bagi hasilan tuaian akuakultur daripada aktiviti ternakan udang/ikan untuk makanan manusia (Borang BP-DJ01) dan ikan hiasan (Borang BP-DJ02).

Peraturan Perundangan

  1. Akta Perikanan, 1985.
  2. Akta Makanan, 1983.
  3. Peraturan-peraturan Perikanan (Pematuhan Kawalan Penyakit Ikan bagi Eksport dan Import) 2012.
  4. Akta Perkhidmatan Pemeriksaan dan Kuarantin Pertanian Malaysia, 2011.

Pra-Syarat

  1. Ladang yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia sahaja akan dibekalkan dengan borang dayajejak.
  2. Pengeksport atau pengilang sejuk beku perlu berdaftar selaku penerima hasil tuaian akuakultur dengan Jabatan Perikanan Malaysia sebelum menggunakan borang ini sebelum membuat permohonan sijil kesihatan untuk eksport.
  3. Pegawai perikanan yang mengesahkan dokumen dayajejak ini perlulah diperturunkan kuasa untuk menjalankan tugas selaku pegawai pengesah kepada dokumen ini.
  4. Pegawai perikanan yang mengesahkan dokumen dayajejak ini perlulah daripada daerah di mana lokasi ladang berada

Prosedur Mendapatkan Borang Dayajejak

  1. Ladang yang belum berdaftar perlu mendaftarkan aktiviti mereka dengan mengisikan maklumat lengkap mengenai aktiviti mereka di dalam Borang Pendaftaran Ladang, Borang ARF01 untuk mendapatkan nombor pendaftaran.
  2. Ladang yang telah berdaftar boleh mendapatkan bekalan bagi borang dayajejak di semua Pejabat Ketua Daerah Perikanan terdekat dengan lokasi ladang mereka berada dengan menyertakan;
    • Salinan surat pengesahan pendaftaran daripada Bahagian Biosekuriti Perikanan dan,
    • Pendaftaran / kelulusan Gunatanah untuk Akuakultur atau,.
    • Pendaftaran Perniagaan

Pengesahan Lokasi Ladang

  1. Borang Dayajejak, BP-DJ01 hanya sah digunakan sebagai dokumen sokongan permohonan sijil eksport setelah ditandatangani oleh kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia di peringkat daerah. 
  2. Kuasa menandatangani borang dayajejak adalah seperti berikut;
    • Ketua Unit Akuakultur Negeri.
    • Ketua Daerah Perikanan /  Penguasa Perikanan Daerah
    • Pembantu Perikanan Akuakultur Daerah.
  3. Bagi membantu proses pengesahan lokasi ini, setiap Pejabat Perikanan Daerah perlu mempunyai senarai terkini ladang yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia.

Ciri-Ciri Fizikal Borang Dayajejak

  1. Dokumen daya jejak ini disediakan di atas kertas berkarbon yang setiap satu mempunyai nombor siri yang berturutan.
  2. Nombor siri ini bertujuan adalah untuk mengesan kuantiti borang yang telah dikeluarkan dan mengesan dokumen berkenaan untuk tujuan pelaporan.

Tanggungjawab Negeri/Daerah

Pejabat Perikanan Negeri / Ketua Daerah Perikanan berhak untuk menolak sekiranya keadaan seperti berikut berlaku, antaranya;

  1. Tarikh penghantaran dokumen dayajejak ke pejabat perikanan selepas tarikh penerimaan hasil tuaian akuakultur oleh kilang sejukbeku / pengeksport.
  2. Tiada maklumat lengkap seperti tarikh tuai, tarikh penghantaran diisikan di dalam borang.
  3. Permohonan daripada daerah/negeri lain.

Pejabat Perikanan Negeri /  Ketua Daerah Perikanan bertanggungjawab untuk melakukan pemeriksaan mengejut secara berkala mengikut keperluan ke atas ladang-ladang di bawah pengawasan mereka.  Pemeriksaan ini boleh dilaksanakan dengan melihat kepada;

  1. Membuat verifikasi dokumen daya jejak yang telah disahkan di Pejabat Perikanan Daerah dengan salinan simpanan ladang.
  2. Menyemak kuantiti pengeluaran dengan kapasiti pengeluaran ladang.

Pejabat Perikanan Negeri / Ketua Daerah Perikanan perlu untuk memanjangkan laporan pengesahan seperti Lampiran D ke Unit Biosekuriti Perikanan Negeri terdekat bagi tujuan kompilasi laporan bulanan pengeluaran sijil sebelum 10 haribulan setiap bulan.

Pematuhan Garis Panduan

Garispanduan yang dikeluarkan ini hendaklah terus berkuatkuasa dan dianggap sah sehingga dipinda atau diganti dengan suatu garispanduan lain atau dibatalkan secara bertulis.

Pengecualian

Aktiviti pengesahan lokasi ladang dan tanggungjawab Negeri/Daerah di dalam Garis Panduan ini adalah tidak terpakai untuk Borang Dayajejak, BP-DJ02.

Forms / DocumentsDownloads
Panduan Pengisian Maklumat Borang BP-DJ01
Panduan Pengisian Maklumat Borang BP-DJ02
Carta Alir Pergerakan Dokumen Dayajejak

Services

Logo Official Portal DOF