Dasar Pelesenan Perikanan Pantai (Zon A, Zon B dan Zon C)
- Jabatan Perikanan Malaysia telah membekukan pengeluaran dan penambahan unit/permit baru lesen bagi vesel Zon A, B dan C. Pembekuan ini telah dilaksanakan oleh Jabatan sejak tahun 1982 lagi yang berpandukan hasil kajian penyelidikan Jabatan berkaitan status stok sumber. Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan pengurusan sumber perikanan marin yang mapan.
- Pengeluaran Lesen Sampan baru sudah tidak dikeluarkan manakala pengeluaran Lesen Sampan Khas mula dikeluarkan pada tahun 2008 dan hanya diutamakan kepada nelayan dalam senarai e-Kasih.
SISTEM PENGEZONAN PERAIRAN PERIKANAN (OPERASI VESEL PENANGKAPAN IKAN)
Sistem pengezonan perairan perikanan mula diperkenalkan melalui dasar pelesenan pada tahun 1983. Dasar ini dibuat setelah Jabatan mengkaji pelbagai faktor seperti kepentingan sumber perikanan, masalah sosial, ekonomi, dasar ekonomi baru dan sebagainya. Pengezonan ini melibatkan pengagihan perairan antara nelayan tradisional, nelayan komersial, vesel laut dalam dan vesel tuna.
Pelaksanaan sistem pengezonan membenarkan hanya nelayan tradisional beroperasi di perairan zon A (5 batu nautika dan ke bawah). Ini dapat memulihara sumber perikanan di zon terbabit pulih dan membantu dalam peningkatan sumber ikan kerana ia menjadi tempat utama pembiakan ikan. Peralatan tradisional bersifat lebih selektif dan ia tidak seperti peralatan komersial yang tidak selektif. Sifat tidak selektif ini menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan sumber perikanan dan kerosakan batu karang.
Kemaskini pada 2020-09-10 16:13:21 daripada Bahagian Pengurusan Sumber