MAKLUM BALAS JABATAN PERIKANAN BERKAITAN ISU "ANCAMAN KELI AFRIKA TERHADAP EKOSISTEM"
- Jabatan Perikanan mengambil maklum berkaitan aktiviti pelepasan ikan seperti Keli Afrika (Clarius gariepinus) iaitu spesies eksotik (asing) ke dalam perairan sungai dengan tujuan aktiviti keagamaan tertentu seperti membayar nazar dan sebagainya seperti yang berita yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan baru-baru ini
- Walau bagaimanapun, Jabatan Perikanan menasihatkan orang ramai supaya tidak melepas atau melupuskan spesies ikan asing bagi mencegah implikasi buruk yang mengganggu keseimbangan biodiversiti, habitat dan spesies ikan asli di perairan umum.
- Ini adalah kerana ikan-ikan asing ini boleh membiak dalam perairan umum dan dikhuatiri akhirnya menjadi dominan dan pemangsa kepada ikan asli yang sedia ada di perairan dan berbahaya kepada keselamatan awam, di samping menyumbang kepada bawaan penyakit baru dan punca sebaran serta rebakan penyakit di dalam perairan umum.
- Jabatan Perikanan menyeru kepada mereka yang hendak membuat pelepasan ikan sebegini untuk menghubungi pihak Jabatan melalui pejabat-pejabat perikanan di daerah-daerah untuk mendapatkan nasihat selanjutnya.
- Aktiviti tersebut bukan sahaja menjejaskan sumber perikanan darat atau sungai tetapi juga boleh menimbulkan konflik dalam masyarakat seperti pergaduhan dsb. kerana menjejaskan pendapatan berikutan kemerosotan tangkapan ikan asli oleh nelayan darat yang sebenar.
- Orang ramai dan semua pihak berkaitan perlu sedar dan bertanggungjawab bagi menjaga kemampanan sumber perikanan darat sedia ada. Penggunaan ikan daripada spesies asli / asal seperti lampam, patin, kelah dsb. adalah disyorkan.
- Pihak Jabatan Perikanan Malaysia juga mengingatkan premis-premis kedai akuarium dan ladang ikan hiasan supaya turut memikul tanggungjawab bagi menjaga ekosistem di perairan perikanan darat/ sungai dengan cara tidak melepaskan ikan-ikan daripada spesies larangan seperti yang disenaraikan dalam jadual *Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import Dsb., Bagi Ikan) 1990 dan Pindaan 2011. Dari tahun 2014 hingga 2016, pihak jabatan telah menjalankan pemeriksaan di 350 premis di seluruh negara dan 15 kes penyitaan telah direkodkan.
- Perbuatan mengimport, menjual, memelihara atau menyimpan spesies-spesies ikan larangan tersebut merupakan satu kesalahan mengikut Peraturan berkenaan kecuali dengan kebenaran bertulis Jabatan Perikanan Malaysia.
- Bagi isu ini, Jabatan Perikanan telah mengadakan pemantauan bertujuan untuk memberi nasihat termasuk mengedar risalah ke tokong-tokong yang dikenal pasti di Sg. Perai di Pulau Pinang, Daerah Kota Tinggi dan juga Daerah Muar sejak tahun 2015 lagi. Aktiviti ini akan diteruskan melalui Pejabat-Pejabat Perikanan Negeri seluruh negara.
- Di samping itu juga, Jabatan Perikanan mencadangkan pindaan dibuat terhadap Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) di peringkat negeri supaya aktiviti pelepasan spesies ikan eksotik (asing) ini dapat dikawal dan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
*Isi kandungan hanya dalam versi bahasa melayu sahaja
Kemaskini pada 2017-05-18 14:15:42 daripada Iszni