KESAN EL NINO TERHADAP INDUSTRI PERIKANAN
-
Secara keseluruhan terdapat seramai 143,421 orang nelayan tempatan dan 26,516 orang pengusaha akuakultur yang terlibat di dalam sektor perikanan di Malaysia. Berdasarkan kepada aktiviti yang dijalankan, pengeluaran ikan Malaysia pada tahun 2015 adalah sebanyak 1.94 juta tan metrik. Sejumlah 1.45 juta tan metrik direkodkan dari sektor perikanan tangkapan yang mencatatkan hampir 75% sumbangan kepada pengeluaran ikan negara. Manakala sektor akuakultur menyumbangkan sebanyak 482,200 tan metrik iaitu 25% dari jumlah keseluruhan pengeluaran ikan. Nilai perdagangan sektor perikanan adalah sebanyak RM6.6 billion.
-
Fenomena El-Nino memberi kesan terhadap kedua-dua sub sektor perikanan tangkapan dan akuakultur. Peningkatan suhu laut sebanyak 1 hingga 2 °C memberi impak kepada stok ikan seperti habitat ikan pelagik yang akan berpindah keluar dari perairan negara disebabkan oleh kandungan makanan seperti plankton yang berkurangan. Ini akan mengakibatkan penurunan kepada pendaratan ikan pelagik lebih kurang 30% dari jumlah pendaratan ikan negara. Bagi ternakan akuakultur pula, peningkatan suhu menyebabkan penurunan kandungan oksigen terlarut, memberi tekanan serta kesan negatif terhadap ternakan yang menyebabkan kematian ikan dan kejadian penyakit.
-
Kesan El-Nino ini menyebabkan penternak akuakultur mengalami kerugian ratusan ribu ringgit seperti kejadian kematian ikan dalam sangkar air tawar di Kg. Bangau Parit, Temerloh Pahang dan sangkar air payau di Sungai Sangga Besar, Kerian Perak yang dilaporkan oleh media baru-baru ini. Walaubagaimanapun, sebahagian penternak lain masih dapat menjalankan aktiviti ternakan seperti biasa kecuali kawasan yang telah ditakrifkan zon kritikal seperti di Tanjung Batu, Telok Ira, sebahagian Kg Pangsenam, Lebak Seberang dan sebahagian Kuala Krau di Temerloh.
-
Jabatan Perikanan telah menyarankan langkah-langkah bagi menangani impak El-Nino terhadap industri perikanan. Bagi tindakan segera, penternak akuakultur digalakkan untuk mengurangkan kadar tebaran benih dan kadar pemberian makanan serta menuai ikan yang telah mencapai saiz pasaran. Seterusnya, operasi ternakan perlu ditangguhkan ketika berlakunya fenomena El-Nino ini. Untuk jangka panjang, penggunaan sistem air kitar semula yang meminimakan penggunaan air di dalam sistem yang terkawal adalah digalakkan. Selain itu, Integrated Multi Trophic Aquaculture (IMTA) akan dilaksanakan melibatkan ternakan akuakultur dari spesies berbeza, contohnya ternakan ikan, udang dan tiram/rumpai laut di dalam kolam air payau bagi memaksimumkan penggunaan ruang serta biologi ternakan untuk meningkatkan pengeluaran akuakultur. Kajian pembangunan baka yang mempunyai daya tahan kepada perubahan cuaca akan diteruskan dengan mengurangkan kebergantungan kepada induk liar. Pemantauan impak El-Nino dibuat secara berterusan melibatkan perubahan kualiti air, perubahan iklim ke atas ekosistem dan plankton bagi akuakultur marin dan air tawar.
-
Bagi sub sektor perikanan tangkapan pula, langkah menangani kesan El-Nino diambil dengan menghentikan eksport ikan rakyat seperti ikan kembong, selayang, selar, cencaru dan pelaling serta menyediakan stok penimbal ikan rakyat untuk bekalan selama 6 bulan. Hasil tangkapan ikan pelagik dari Pantai Barat akan dibekalkan untuk pasaran di Pantai Timur dan untuk jangka panjang, teknologi remote sensing akan digunakan bagi penentuan lokasi ikan bagi meningkatkan pengeluaran ikan.
Kemaskini pada 2016-04-13 15:20:09 daripada Portal Administrator