StrepToVax: Vaksin untuk pencegahan penyakit Streptococcosis pada ikan tilapia
Pendahuluan:
Streptococcosis merupakan jangkitan bakteria Streptococcus spp. terutamanya Streptococcus agalactiae dan Streptococcus iniae. Patogen Streptococcus agalactiae, lazimnya menjangkiti ikan tilapia bersaiz lebih daripada 100g. Jangkitan didapati begitu serius terutamanya di sangkar-sangkar dimana aktiviti akuakultur dijalankan secara intensif dan boleh menyumbang kepada 40-60% kematian hasil ternakan. Jangkitan juga didapati serius akibat suhu air yang tinggi (lebih dari 30ºC) terutamanya pada musim panas dan kering. Antara faktor tekanan lain yang menyumbang kepada jangkitan ialah kejernihan air, yang membolehkan tembusan cahaya matahari sehingga lebih dari 4 m kedalaman air yang seterusnya mengekal haba termasuk kepadatan ikan yang tinggi.
Simpton atau tanda-tanda klinikal jangkitan:
- keadaan tidak normal di mata seperti mata terbonjol (pop-eye), atau buta,
- keradangan pada pangkal sirip dan badan,
- renangan yang tidak menentu(erratic swimming) dan hilang kawalan keapungan,
- lethargi atau lesu dan hilang selera makan.
Kunci utama pencegahan penyakit streptococcosis adalah mengekalkan kualiti air yang baik dan kebersihan persekitaran ternakan serta pemberian vaksin. Selain itu, benih ikan yang baru perlu dikuarantin terlebih dahulu bagi memastikan ia bebas daripada penyakit.
Penyakit Streptococcosis telah direkodkan merebak di hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia. Melihat kepada kepentingan pencegahan dan impak kerugian kepada penternak, pihak NaFisH bersama rakan kolaborasi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Agro-Bioteknologi Institute (ABI) telah menjalankan kajian yang komprehensif merangkumi;
- Kajian epidemiologi jangkitan streptococcosis – bagi menentukan hubungkait faktor-faktor risiko lain yang turut menyumbang kepada jangkitan
- Kajian Patogenisiti Streptococcus agalactiae
- Pembangunan vaksin berasaskan makanan (whole-cell adjuvant & recombinant vaccine)
- Percubaan vaksin berasaskan makanan di makmal dan lapangan
Hasil Penyelidikan
Vaksin StrepToVax (whole cell vaccine) adalah hasil daripada penyelidikan yang telah dijalankan selama 10 tahun. Vaksin yang berasaskan makanan ini dibangunkan dengan menggunakan strain bakteria tempatan. Aplikasi secara `oral’ pemberian vaksin StrepToVax ini adalah diformulasi melalui campuran di dalam pellet makanan ikan. Kaedah ini lebih praktikal berbanding dengan cara suntikan atau rendaman yang boleh mendatangkan stress kepada ikan. Bagi pengambilan vaksin yang optima, ikan perlulah dipuasakan selama sehari sebelum pemberian. Percubaan lapangan yang dilakukan bersama penternak di Tasik Kenyir, Trengganu pada tahun 2012 dan 2014 menunjukkan tahap antibodi ikan yang tinggi berjaya dihasilkan. Tahap antibody ini dapat bertahan sehingga 4 bulan sekiranya vaksin diberikan pada 3 kali secara berkala iaitu pada minggu 0, 2 dan 6 (Gambar 1 dan 2). Kadar kemandirian (survival rate) ikan yang direkodkan juga adalah tinggi iaitu 75% berbanding kumpulan ikan yang tidak diberikan vaksin ini iaitu sebanyak 47%. Kajian ini menunjukkan pengawalan melalui vaksin mampu meningkatkan ketahanan ikan terhadap Streptococcosis.
Hasil kajian lapangan pada 2012:
Hasil kajian lapangan pada 2014:
Majlis pelancaran vaksin StrepToVax dan manual pengurusan penyakit streptococcosis pada ikan tilapia merah telah diadakan pada 14 Oktober 2014 bertempat di Corus Hotel, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Y. Bhg. Dato’ Ismail Abu Hassan (KPP).
Pengkomersilan: Akan dijalankan oleh ABI (RP-2)
Target group: Penternak ikan tilapia (anggaran 5,667 penternak).
Outcome: penggunaan vaksin StrepToVax, meningkatkan kadar kemandirian dan hasil pengeluaran ikan tilapia.
Impak:
- Meningkatkan pendapatan penternak
- Meningkatkan produktiviti industri akuakultur
- Meningkatkan hasil produktiviti akuakultur negara
Kemaskini pada 2016-03-21 15:33:22 daripada Portal Administrator