Adakah lesen vesel dan peralatan menangkap ikan bagi Sampan, Zon A, Zon B dan Zon C masih dikeluarkan?
Pengeluaran bagi lesen-lesen tersebut di atas telah DIBEKUKAN
Bagaimana untuk memohon lesen vesel dan peralatan menangkap ikan laut dalam?
Pemohon perlu mengisi Borang LPI 1/95 yang disediakan dan menyediakan kertas kerja cadangan projek termasuk mengemukakan dokumen sokongan yang berkaitan. Borang LPI 1/95 dan juga panduan melengkapkan borang dan menyediakan kertas kerja cadangan projek boleh didapati dengan melayari laman web Jabatan. Permohonan hendaklah dihantar terus ke Ibu Pejabat, Jabatan Perikanan Malaysia. Bagi yang tidak mempunyai kemudahan internet, borang permohonan ini juga boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan yang berhampiran dengan tempat tinggal anda.
Kawasan Operasi Nelayan Kecil
Nelayan kecil merujuk kepada nelayan yang menggunakan peralatan tradisional seperti pukat hanyut, bubu dan lain-lain. Bagi nelayan kategori ini, mereka dibenarkan untuk beroperasi dari 1 batu nautika – 5 batu nautika dan ke atas. Jabatan tidak menghadkan kawasan operasi bagi nelayan yang menggunakan sampan dan vesel bermuatan kurang 40 GRT dengan peralatan tradisional kerana peralatan tradisional ini lebih mesra sumber.Walaubagaimanapun, mereka hanya dibenarkan beroperasi di perairan Negeri dimana vesel mereka dilesenkan.
Memukar pelesen vesel zon B ke Zon C (ganti kulit) and tukar nama kepada nama syarikat (SDN BHD)
Buat makluman tuan permohonan tuan boleh dikemukakan serentak bagi iaitu tukar zon, ganti kulit, ganti enjin dan tukar peralatan (jika berkenaan) serta pindah milik daripada pemilik asal kepada syarikat. Namun setiap permohonan yang telah diluluskan tidak boleh dibuat sebarang pindaan atau pertukaran. Sila berhubung dengan Pejabat Perikanan Daerah yang berkaitan bagi keterangan lanjut
Pindah Milik permit sampan nelayan tradisi (kelas A )
Pindah milik lesen sampan hanya dibenarkan kepada isteri atau anak dan merupakan nelayan tulen, tidak mempunyai vesel penangkapan ikan lain dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, akan mengusaha sendiri sampan tersebut. penduduk setempat dan warganegara Malaysia. Namun begitu bagi kes kematian, kelonggaran diberikan kepada pewaris yang bukan nelayan tulen untuk pindah milik kepada nelayan tulen lain hendaklah dilakukan dalam tempoh tidak melebihi 1 tahun setelah arahan daripada Amanah Raya /makhamah/harta pesaka kecil diperolehi (jika melibatkan pewarisan/wasiat). Maklumat lanjut berkaitan pindahmilik boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan Daerah
Tukun tiruan di perairan sungai
Pihak jabatan perikanan malaysia hanya melaksanakan projek tukun tiruan di laut sahaja dan bukan di sungai-sungai.
Pertukaran pemilik lesen vesel sampan, Vesel zon A dan B
Buat makluman pihak tuan, pertukaran pemilik lesen vesel sampan, Vesel zon A dan B hanya boleh dilakukan kepada nelayan tulen. Walaupun Amanah Raya telah mengeluarkan surat bagi pemilikan tersebut, vesel hendaklah dipindahmilik kepada nelayan tulen dalam tempoh setahun sama ada dijual atau diberi sebagai hadiah kepada nelayan tulen. Nelayan tulen adalah nelayan yang mempunyai kad pendaftaran nelayan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia kepada nelayan yang terlibat secara langsung dalam industri untuk tempoh 120 hari setahun dan tiada pekerjaan lain. Tindakan yang dibuat oleh pegawai terbabit adalah mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Lesen bot tamat tempoh
Lesen bot yangn telah tamat tempoh boleh diperbaharui di Pejabat Perikanan Daerah yang berhampiran di mana bot tersebut dilesenkan dengan mengemukakan buku lesen dan kad nelayan. Bagi tujuan tukar nama pemilik, jika tiada wasiat dibuat, perakuan daripada Amanah Raya perlu diperolehi (mungkin mengambil masa). Keterangan lanjut bagi kedua-dua pertanyaan tuan boleh diperolehi daripada pegawai di Pejabat Perikanan Daerah berhampiran.
Lesen kebenaran aktiviti penangkapan
Aktiviti penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan dan bot/vesel/sampan adalah tertakluk di bawah Akta Perikanan 1985 dan peralatan serta vesel hendaklah dilesenkan. Lesen sampan hanya dikeluarkan kepada nelayan tulen dan Jabatan Perikanan Malaysia juga tiada mengeluarkan lesen sampan buat masa ini. Akan tetapi membawa pemancing bagi tujuan aktiviti rekreasi adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan tuan boleh memohon permit daripada agensi tersebut. Namun permit tersebut bukan sebagai lesen kebenaran untuk tuan menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan menangkap ikan yang diselain membawa pemancing. Oleh itu adalah dinasihatkan agar tuan menghubungi Pejabat Perikanan Daerah atau Jabatan Laut berhampiran berhampiran untuk keterangan lanjut bagi mengelakkan sampan tuan dirampas atau didenda.
Permohonan lesen dan kad nelayan
Kepada Sesiapa yang berkenaan, 2. Adalah dimaklumkan, Bahagian Perlesenan dan Pengurusan Sumber tidak mengeluarkan lesen nelayan. Pengadu mungkin keliru diantara lesen vesel dan peralatan menangkap ikan dan kad nelayan. Sebagaimana kita sedia maklum, lesen-lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia adalah lesen vesel dan peralatan menangkap ikan tradisional, komersial laut dalam (c2), lesen menangkap ikan tuna, lesen kultur laut (SKL), lesen menunggu peranti pengumpul ikan (MPPI). Bagaimanapun semua lesen baru bagi penangkapan ikan laut pantai dan laut dalam telah dibekukan. Selain itu, Bahagian Pelesenan dan pengurusan sumber memproses permohonan kad nelayan bagi nelayan tempat dan juga kru asing bagi nelayan asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan. 3. Pengadu tidak menyatakan lesen yang dimohon serta tidak menyatakan identiti sebenar beliau, hal ini menyukarkan pihak jabatan memberikan layanan sewajarnya. Pemohonan seharusnya berterus terang supaya aduan beliau dapat diambil tindakan oleh pihak jabatan. Bahagiab ini menyarankan agar pemohon menghantar permohonan sebenarnya sekiranya beliau berminat menceburkan diri dalam industri penangkapan ikan. Sekian, untuk makluman.
Kemaskini pada 2016-03-18 16:56:06 daripada Portal Administrator