Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Selamat datang dan terima kasih kerana mengunjungi laman web Jabatan Perikanan Negeri Melaka.
Pada keseluruhannya, Jabatan Perikanan Negeri Melaka telah mencapai pelbagai kejayaan yang boleh dibanggakan dengan menganjurkan pelbagai program dan projek yang melibatkan kumpulan sasar dan orang awam di sekitar Melaka mahupun di luar kawasan Melaka.
Saya juga ingin merakamkan setinggi –tinggi penghargaan kepada semua rakyat Negeri Melaka terutamanya di atas pengiktirafan ’Melaka Maju 2010’ yang telah diisytiharkan pada 10 Oktober 2010. Selaras dengan pengiktirafan tersebut, Jabatan Perikanan Negeri Melaka telah mempertingkatkan usaha dalam memajukan lagi sektor perikanan terutamanya di Negeri Melaka. Pada tahun 2010, Jabatan telah menerima peruntukan Persekutuan sebanyak RM 2,183,350.00 dan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM 150,000.00.
Pada tahun 2010, pengeluaran akuakultur telah meningkat sebanyak 19.30% berbanding tahun 2009. Nilai pengeluaran juga telah meningkat sebanyak 20.38%. Peningkatan pengeluaran ini telah menjadikan bidang akuakultur sebagai penyumbang utama kepada sektor perikanan di Negeri Melaka. Terdapat pertambahan sejumlah 25 orang penternak di Negeri Melaka bagi tahun 2010 menjadikan jumlah keseluruhan penternak adalah 372 orang. Selain itu, program-program di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan Nasional (DJBMN) telah diadakan untuk memperkasakan bidang pertanian. Pada akhir tahun 2010, Jabatan juga telah menganjurkan Program Percubaan Ternakan Kerang dari Sungai Sempang ke Sungai Tedong seluas 5 hektar dengan usaha sama Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP).
Seterusnya besarlah harapan saya jika usaha yang dilakukan ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun yang berikutnya dengan meningkatkan lagi penambahbaikan. Akhir sekali, saya berharap agar Jabatan Perikanan Negeri Melaka akan terus maju dalam meningkatkan produktiviti dan perkhidmatan seiring dengan perubahan inovasi dan teknologi yang terkini.
Pengarah Perikanan Negeri Melaka
Kemaskini pada 2016-06-10 16:05:07 daripada Admin Melaka