Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melalui Bahagian Akuakultur menganjurkan Seminar Akuakultur 2024 Jabatan Perikanan Malaysia di Bangi Avenue Convention Centre, Selangor. Seminar ini telah dirasmikan oleh YB. Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Seminar yang diadakan secara hibrid ini memberi pengkhususan kepada aspek membudayakan teknologi moden, lestari dan berdaya saing. Seramai 350 orang peserta menyertai seminar ini terdiri daripada pemain industri, penternak akuakultur dan persatuan-persatuan penternak seluruh Malaysia.
Turut diadakan penyampaian Sijil myGAP kepada pengusaha yang telah mematuhi keperluan pensijilan serta penyampaian cek cura Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA) projek kluster bernilai RM7.36 juta kepada negeri Pahang dan RM951,500.00 kepada negeri Pulau Pinang sebagai penerima bagi kategori komersial yang menerima peruntukan pada tahun 2024.
Pameran berkenaan teknologi akuakultur turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta dalam eksplorasi maklumat dan pempamer berkongsi kepakaran.
Hadir sama ke program, Tuan Haji Wan Muhammad Aznan bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), YBhg. Dato’ Haji Azahari Othman, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Dr. Azhar Bin Hamzah, Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Perikanan, dan Puan Yeo Moi Eim, Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti.