Pilih satu Halaman

Program Kesedaran Spesies Ikan Asing dan Pertandingan Moh! Tangkap Baung Ekor Merah

Utama » Aktiviti » Program Kesedaran Spesies Ikan Asing dan Pertandingan Moh! Tangkap Baung Ekor Merah

9 Jun 2025

Program Kesedaran Spesies Ikan Asing dan Pertandingan “Moh! Tangkap Baung Ekor Merah” anjuran Jabatan Perikanan Negeri Pahang hari ini telah berlangsung di Pekan Riverfront, Pahang. Program ini merupakan antara inisiatif berterusan Jabatan dalam usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman spesies ikan asing invasif terhadap ekosistem perairan darat negara.

Majlis Perasmian Penutupan program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, dengan kehadiran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain.

Menurut Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Malaysia memiliki lebih 449 spesies ikan air tawar tempatan, antaranya ikan kelah, temoleh, sebarau dan baung sungai yang penting dari aspek ekologi dan ekonomi. Namun begitu, kehadiran spesies asing invasif seperti ikan peacock bass, keli Afrika, baung ekor merah, dan ikan bandaraya kini mengancam kelestarian biodiversiti ini.

“Spesies asing ini bersifat agresif, membiak dengan cepat dan mampu menyingkirkan spesies tempatan melalui persaingan makanan dan habitat. Sejak tahun 2022, Jabatan Perikanan telah melaksanakan 17 siri aktiviti memburu ikan asing dan berjaya mengeluarkan lebih 4.4 tan metrik spesies invasif dari perairan negara,” jelas beliau.

Program pada kali ini turut menyaksikan penyertaan komuniti tempatan dan pemancing dari seluruh negara dalam aktiviti menangkap spesies invasif, khususnya baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides), iaitu spesies dari Sungai Mekong yang kini semakin berleluasa di sungai-sungai tempatan.

Dalam majlis yang sama, Jabatan turut menyampaikan bantuan Geran Pemadanan bernilai RM331,400 di bawah Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA) kepada tiga peserta utama Kluster Rizqi di Kampung Peramu, Pekan serta Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) berjumlah RM66,000 kepada 22 orang nelayan darat daerah ini.

Turut hadir dalam program ini En. Ruzaidi bin Mamat Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, En. Abdullah bin Jaafar Pengarah Kanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan, En. Roslan bin Abu Hasan Pengarah Perikanan Negeri Pahang dan Kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Pahang.