Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN) telah menerima kunjungan hormat daripada Ahli Parlimen Bukit Gantang, iaitu YB Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal, bagi membincangkan aktiviti kemahiran nelayan laut secara khusus.
Pertemuan ini dipengerusikan oleh YBhg Dato’ Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Perbincangan merangkumi hala tuju dan lanskap industri perikanan melalui penggunaan teknologi, modal insan, serta pemantapan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, dan inovasi (RDCI), serta peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan berdasarkan model bersepadu yang memberi fokus kepada ekonomi dan integrasi rantaian nilai yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan kemampanan ekonomi negara.
YB Dato’ Syed Abu Hussin juga berkesempatan melawat bengkel pukat dan bengkel enjin, selain beramah mesra bersama pelajar-pelajar Kolej tersebut.
Turut hadir dalam program ini, YBhg Dato’ Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBrs Puan Aishah binti Yusoff, Bahagian Pembangunan Kapasiti Latihan Pertanian, YBrs Encik Mohd Ghazali bin A. Manap, Pengarah Perikanan Negeri Perak, Encik Ahmad Redzuan bin Ramli, Pengarah KPSN, serta pegawai-pegawai perikanan ibu pejabat dan kakitangan KPSN.