Tasik Laman Agro-Food Nanas LPNM di MAEPS Serdang, Selangor telah menjadi lokasi Majlis Ringkas Pelepasan Ikan Air Tawar yang diadakan semalam. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. En. Mohd Khairuzamri bin M.Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), bersama YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Kehadiran kedua-dua tokoh ini menandakan jalinan kerjasama erat antara dua agensi kerajaan dalam memajukan sektor pertanian dan perikanan negara.
Sebanyak 23,060 ekor ikan air tawar, termasuk 8,060 ekor Lampam Sungai, 5,000 ekor Kerai Lampam, dan 10,000 ekor Puyu, telah dilepaskan. Jumlah ikan bernilai RM8,530.00, disumbangkan oleh Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, Pahang.
Sebagai tambahan pada majlis ini, LPNM juga telah memperkenalkan idea ekosistem yang dapat diwujudkan bagi pengusaha kolam ternakan ikan yang berminat untuk menceburi bidang penanaman nanas. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan integrasi antara industri nanas dan perikanan, sekaligus memberikan peluang kepada pengusaha untuk meningkatkan pendapatan melalui pendekatan yang lebih berdaya maju.
Keseluruhan acara ini mencerminkan usaha berterusan untuk mempromosikan pembangunan lestari sektor pertanian dan perikanan di Malaysia, disamping mempromosikan tasik buatan yang baru siap dibina untuk dipersembahkan kepada para pengunjung Laman Agro Food Nanas untuk edisi Maha kali.