Pilih satu Halaman

Majlis Perundingan Industri Tuna dan Pembangunan Kapasiti Port State Measures (PSM)

Utama » Aktiviti » Majlis Perundingan Industri Tuna dan Pembangunan Kapasiti Port State Measures (PSM)

12 November 2024

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melalui Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan telah menganjurkan Majlis Perundingan Industri (MPI) Tuna dan Pembangunan Kapasiti Port State Measures (PSM) di Port Dickson, Negeri Sembilan. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg Dato” Haji Azahari bin Othman, Pengarah Kanan Akuakultur.

Program Majlis Perundingan Industri (MPI) Tuna 2024 diadakan bertujuan sebagai platform penerangan dan perkongsian pandangan berkaitan isu-isu berbangkit di peringkat domestik dan antarabangsa kepada pengusaha vesel tuna dan pengusaha produk tuna serta agensi-agensi terlibat berkaitan dasar dan prosedur pelesenan vesel Tuna, pengurusan sumber perikanan tuna dan usaha merancakkan industri perikanan tuna di Malaysia.

Majlis Perundingan Industri (MPI) Tuna 2024 kali ini juga digabungkan dengan Program Pembangunan Kapasiti Port State Measures (PSM) yang berkait rapat dengan aktiviti vesel penangkapan ikan tuna di laut lepas. Port State Measures merupakan mekanisma kawalan kemasukan vesel penangkapan ikan asing ke negara pelabuhan (port state) bagi mengekang kemasukan vesel IUU untuk menggunakan pelabuhan.

Lapan (8) kertas pembentangan telah disediakan iaitu lima (5) daripadanya adalah berkaitan Pembangunan Industri Tuna daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perikanan Kg. Acheh, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jabatan Laut Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) manakala tiga (3) daripadanya adalah berkaitan IUU dan Port State Measures oleh pegawai-pegawai Jabatan Perikanan Malaysia.

MPI ini dihadiri oleh seramai 65 orang pengusaha-pengusaha dan agensi dari industri tuna seluruh Malaysia.

Hadir sama ke majlis ini Tuan Haji Bakri bin Miswan, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Puan Zarina binti Zainuddin, Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, YBhg Datuk Haji Sufian bin Sulaiman, Naib Pengerusi Persatuan Tuna Malaysia serta pengarah-pengarah negeri dan kakitangan jabatan.