Pilih satu Halaman

#MAHA2024 DOF Raikan 100 Tahun Penganjuran Maha 2024

Utama » Aktiviti » #MAHA2024 DOF Raikan 100 Tahun Penganjuran Maha 2024

14 September 2024

Bersempena penganjuran 100 tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mencipta rekod yang diiktiraf oleh The Malaysia Book Of Records (MBOR) dengan penghasilan formasi sandwic tuna ‘100 TAHUN MAHA 2024’ yang disaksikan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkata penghasilan formasi sandwich tuna ‘100 TAHUN MAHA 2024’ ini pertama kali dihasilkan di Malaysia dengan mendapat kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia.

“Pemilihan ikan tuna adalah bagi mempromosikan kepada orang awam mengenai khasiat ikan tuna yang kaya dengan protein, Omega-3 serta Vitamin B dan D. Formasi ini menggunakan sebanyak 8,000 sandwic yang menghasilkan saiz keseluruhan 13 meter x 8 meter bersamaan 104 meter persegi.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan program pelepasan 100 ekor induk ikan asli di Tasik MAEPS. Sebanyak lapan spesies induk ikan dilepaskan terdiri daripada terbul, lampam sungai, kerai, baung, kaloi, sebarau dan tapah bernilai RM13,000.

Pelepasan ini bertujuan untuk memperkukuhkan sumber perikanan darat bagi menjamin sekuriti makanan. Selain itu, program ini juga sebagai simbolik untuk meraikan 100 Tahun penganjuran MAHA.

Hadir sama, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan.