Pilih satu Halaman

Lawatan Kerja YB. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Ke Pulau Undan, Melaka.

Utama » Aktiviti » Lawatan Kerja YB. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Ke Pulau Undan, Melaka.

2 Oktober 2021

Gugusan Kepulauan Melaka dikelilingi oleh tujuh (7) buah pulau yang memiliki keunikan khazanah lautnya yang tersendiri iaitu Pulau Besar, Pulau Serimbun, Pulau Lalang, Pulau Dodol, Pulau Nangka, Pulau Hanyut dan Pulau Undan. Kerajaan Negeri Melaka dan Jabatan Perikanan Melaka (DOF) telah mengenalpasti tiga (3) perairan pulau yang dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan Taman Laut iaitu perairan Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol iaitu 1 batu nautika dari pantai. Ketiga-tiga perairan ini dicadangkan untuk diwartakan sebagai Taman Laut di bawah Seksyen 41, Akta Perikanan 1985 (Akta 317). Melalui pewartaan ini, kelestarian kepelbagaian biodiversiti marin di kawasan perairan Negeri Melaka akan terjamin serta menyumbang kepada obligasi negara di peringkat antarabangsa, iaitu Aichi Biodiversity Targets di bawah Convention on Biological Diversity.Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh DOF pada tahun 2018 di perairan Melaka, terdapat 81 spesies karang keras telah dikenalpasti dan 5 daripadanya adalah spesis karang yang telah disenaraikan sebagai spesis yang terdedah kepada kepupusan dan telah disenaraikan di bawah IUCN Red List seperti (Euphyllia ancora, Pachyseris rugosa, Pavona cactus, Pavona decussata, Pectinia lactuca).Sebanyak 19 spesies karang lembut yang berwarna-warni dari spesis Gorgonian terdiri daripada 7 koloni dan 10 genus telah dijumpai di 6 (enam) buah pulau tersebut. Diantara spesies terumbu karang tersebut adalah seperti Porites napopora, Symphyllia sp., Goniopora sp., Acropora sp. dan lain-lain lagi. Manakala spesies ikan terumbu karang ialah clownfish, pacific sergeant major, beaked coralfish, batfish dan lain-lain.Terumbu karang secara semulajadi nya berfungsi sebagai kawasan perlindungan dan nurseri untuk juvenil hidupan marin. Ia akan menyebabkan berlakunya peningkatan populasi hidupan marin di kawasan ini. Penghijrahan keluar hidupan marin akan berlaku sama ada bagi mendapatkan ruang yang lebih atau habitat yang berbeza untuk proses tumbesaran. Limpahan keluar ‘spill over’ sumber marin dari Taman Laut akan menyumbang kepada peningkatan populasi hidupan marin di luar kawasan dan seterusnya menyumbang kepada stok perikanan Negara. Melalui usaha pewartaan ini, Jabatan berharap dapat memastikan kelestarian sumber perikanan dan biodiversiti marin di kawasan tersebut.Sebanyak 23 unit tukun rak besi bersalut pasir yang ditanam dengan batu karang telah dipasang di kawasan perairan Pulau Undan pada tahun 2014 dan tahun 2021. Tukun adalah satu daripada kaedah mewujudkan tempat pembiakan ikan kerana ia berfungsi sebagai perumah untuk ikan dan sumber marin membiak serta berkumpul selain menambah habitat terumbu karang di kawasan perairan tersebut.Peruntukan sebanyak RM110,000.00 telah disalurkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Melaka pada tahun 2021 untuk melaksanakan aktiviti dan kerja-kerja pemantauan habitat, rehabilitasi, restorasi karang, perolehan peralatan selaman, underwater cleanup serta program meminimakan ancaman terhadap hidupan marin di ketiga-tiga pulau tersebut. Kawasan yang akan diwartakan hanya perairan pulau manakala daratan akan kekal hakmilik pemilikan asal. Namun penyediaan kemudahan asas seperti jeti, tandas, bilik persalinan pakaian dan lain-lain keperluan perlu disediakan oleh DOF di atas tanah daratan pulau Taman laut bagi memberikan keselesaan pengunjung menggunakan peruntukan Tabung Amanah Taman Laut dan Rizab Laut Persekutuan.Lawatan ke Pulau Undan ini turut disertai oleh YB. Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Speaker DUN Melaka; YB. Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I. Hadir sama adalah YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI; YB Datuk Wira Haji Ghazale bin Muhamad, Timbalan Speaker DUN Melaka; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB. Dato’ TS. Kamel Bin Mohamad; YB Datuk Norhizam bin Hassan Baktee, Exco Pertanian Negeri; Exco Pelancongan Negeri, YB Datuk Muhammad Jailani Bin Khamis; En. Ahmad Tarmidzi bin Ramly, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bersama ADUN-ADUN Negeri Melaka pegawai-pegawai Perikanan.

Terkini

Portal Rasmi Jabatan Perikanan Malaysia Kementerian Pertanian & Industri Perikanan