Pilih satu Halaman

Lawatan Kerja YB Datuk Seri Mohamad Sabu Ke Pulau Payar

Utama » Aktiviti » Lawatan Kerja YB Datuk Seri Mohamad Sabu Ke Pulau Payar

10 Februari 2025

YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, telah mengadakan lawatan kerja ke Pulau Payar bersama pengurusan tertinggi Kementerian bagi meninjau status terkini pemuliharaan terumbu karang serta
perkembangan aktiviti pemuliharaan dan konservasi marin di kawasan Taman Laut.

Dalam lawatan ini, YB Menteri telah menyempurnakan upacara simbolik restorasi karang sebagai tanda bahawa aktiviti pemuliharaan dan restorasi karang kini dibenarkan kembali dijalankan setelah dihentikan sementara sejak 2 Julai 2024 berikutan fenomena kelunturan karang yang
melanda perairan negara.

Pada majlis yang sama, YB Menteri turut menyempurnakan pelepasan benih gamat sebanyak 120 ekor sebagai sebahagian daripada langkah pemuliharaan spesies marin berharga ini. Benih gamat yang dilepaskan terdiri daripada spesies Stichopus sp. atau lebih dikenali sebagai gamat emas, yang berusia 120 hari dengan berat antara 3-10 gram dan panjang 2-10 cm. Benih ini telah dihasilkan melalui pembenihan di Pusat Penyelidikan Marikultur Langkawi.

Sebagai tambahan, Jabatan Perikanan Malaysia turut memberi bantuan alat keselamatan kepada 7 operator pelancongan di Pulau Payar sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka dalam menjaga ekosistem marin. Bantuan ini merangkumi jaket keselamatan, pelampung keselamatan (life buoy), dan alat pemadam api.

Turut hadir sama pada lawatan ini, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Seri Isham Bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Azah Hanim Binti , Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Dato’ Haji Adnan Bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, pengurusan tertinggi KPKM, pengurusan tertinggi jabatan serta pegawai-pegawai jabatan.