KEDUDUKAN SEKTOR PERIKANAN DI MALAYSIA

 

1.         PENDAHULUAN

 

Sektor perikanan masih memainkan peranan yang penting sebagai penyumbang utama ikan selaku sumber makanan dan protein yang penting kepada negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 89,453 orang nelayan dan 21,507 orang penternak ikan. Sumbangan sektor perikanan kepada KDNK adalah 1.73% untuk tahun 2004 berbanding dengan 1.35% dalam tahun 2003.

 

Sektor perikanan biasanya dikategorikan kepada sektor tangkapan ikan marin (laut) dan sektor akuakultur. Sektor perikanan darat iaitu sektor yang menghasilkan tangkapan dari perairan darat kadang kala dikategorikan di bawah sektor akuakultur memandangkan sumbangannya hanya 0.02%.

 

Seperti tahun-tahun yang lalu sektor tangkapan ikan marin masih kekal sebagai pengeluar utama hasil perikanan iaitu sebanyak 87% sekitar satu juta tan metrik. Sektor ini pula boleh dipecahkan kapada sektor perikanan laut pantai dan perikanan laut dalam. Kajian telah menunjukkan bahawa sektor laut pantai telah dieksploitasi pada tahap maksimum. Manakala bagi sektor laut dalam pula masih terdapat ruang untuk dikembangkan dan diterokai.

 

Walaupun sektor akuakultur hanya menyumbang 13% pengeluaran ikan negara, sektor ini telah dikenalpasti sebagai satu sektor yang paling cepat berkembang dan mempunyai potensi yang baik. Sektor ini pula dibahagikan kepada ternakan air tawar dan ternakan air payau.

 

 

2.                  PROFIL PERIKANAN

 

Sektor perikanan pada tahun 2004 telah menghasilkan 1,537,988 tan metrik pengeluaran ikan bernilai RM 5,505.9 juta termasuk 456 juta ekor ikan hiasan yang bernilai RM 106.03 juta. Pengeluaran ikan mencatatkan peningkatan sebanyak 3.64% dari segi pengeluaran dan sebanyak 6.17% dari segi nilai. Mengikut sektor, pengeluaran perikanan tangkapan marin menyumbang 1,331,645 tan metrik atau 87% daripada pengeluaran ikan negara yang bernilai RM 4,241.4 juta. Perikanan pantai masih kekal sebagai penyumbang utama dengan pengeluaran sebanyak 1,060,150 tan metrik atau 69% daripada keseluruhan pengeluaran ikan negara. Sektor perikanan laut dalam telah menyumbang 271,495 tan metrik iaitu 17.6% daripada keseluruhan pengeluaran ikan negara.

 

Sektor akuakultur pula telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 202,225 tan metrik, menghasilkan 13.2% daripada jumlah pengeluaran ikan negara. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.72% jika dibandingkan dengan pengeluaran pada tahun 2003. Bagaimanapun, pengeluaran daripada sektor ini menunjukkan kenaikan dari segi nilai pengeluaran sebanyak 7.86% daripada RM 1,172.31 juta pada tahun 2003 kepada RM 1,264.5 juta pada tahun 2004.

 

Disamping itu, sektor perikanan darat pada tahun 2004 hanya mencatatkan pengeluaran sebanyak 4,119 tan metrik atau 0.27% daripada jumlah pengeluaran ikan negara. Industri ikan hiasan pula telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 455 juta ekor ikan bernilai RM 106.03 juta.

 

Daripada segi tenaga kerja sektor perikanan mempunyai seramai 89,453 orang nelayan yang bekerja di atas vesel berlesen dan 21,507 orang penternak ikan terlibat dalam pelbagai sistem akuakultur. Angka ini tidak termasuk ramai lagi para pengusaha yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti hiliran dan industri yang berkaitan dengan industri perikanan. Pada tahun 2004, jumlah vesel menangkap ikan yang dilesenkan ialah 36,136 unit yang kebanyakkan daripadanya pengusahakan peralatan tradisional.

 

3.         PERIKANAN TANGKAPAN MARIN

 

3.1             Nelayan

 

Sejumlah 89,453 orang nelayan telah direkodkan bekerja di atas vesel menangkap ikan berlesen pada tahun 2004 berbanding dengan 89,433 orang pada tahun 2003. Seramai 41,443 orang nelayan bekerja di atas vesel pukat tunda dan pukat jerut ikan manakala selebihnya iaitu 48,010 orang nelayan bekerja di atas vesel menangkap ikan tradisional. Terdapat seramai 32,666 (37%) orang nelayan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, 22,504 (25%) orang nelayan di Pantai Timur dan 34,283 (38%) orang nelayan di Malaysia Timur.

 

Industri perikanan laut dalam seringkali menghadapi masalah kekurangan vesel yang besar dan kekurangan pekerja mahir. Pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan bahawa pembangunan industri perikanan laut dalam akan membawa keuntungan kepada negara. Langkah tersebut termasuklah pengeluaran permit laut dalam dan latihan kepada nelayan. Namun begitu industri penangkapan ikan laut dalam masih lagi bergantung kepada penggunaan tenaga kerja asing. Bilangan ini telah menurun daripada 30,008 orang yang didaftarkan pada tahun 2003 kepada 28,154 orang pada tahun 2004, iaitu penurunan sebanyak 6.17%.

 

 

 

 

3.2             Vesel Menangkap Ikan

 

Pada keseluruhannya bilangan vesel menangkap ikan yang berdaftar di Malaysia adalah sebanyak 36,136 buah pada tahun 2004 berbanding dengan 35,458 buah pada tahun 2003, meningkat sebanyak 1.91%. Peningkatan ini dicatatkan di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 19,912 unit pada tahun 2003 kepada 20,641 unit pada tahun 2004. Pantai Timur Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 13.47% daripada 5,283 unit pada tahun 2003 kepada 5,995 unit pada tahun 2004. Pantai Barat Semenanjung Malaysia pula mencatatkan peningkatan sebanyak 17 buah vesel sahaja. Bilangan vesel menangkap ikan yang dilesenkan di Sarawak, Sabah dan Labuan tidak berubah.

 

Bilangan vesel menangkap ikan di sektor perikanan laut dalam agak kecil jika dibandingkan dengan bilangan vesel perikanan laut pantai. Pada tahun 2004 terdapat 35,303 buah vesel yang dilesenkan untuk menerokai perairan laut pantai berbanding dengan hanya 833 unit di perairan laut dalam iaitu peningkatan sebanyak 20 unit daripada 813 unit pada tahun 2003.

 

3.3             Perkakas Menangkap Ikan

 

Sesebuah vesel menangkap ikan yang dilesenkan pada kebiasaannya mengusahakan sejenis pekakas sahaja. Walau bagaimanapun, terdapat vesel yang beroperasi lebih daripada sejenis alat menangkap ikan samada pada masa yang sama atau pun di musim yang berlainan. Oleh sebab itu, bilangan lesen yang dikeluarkan untuk pekakas menangkap ikan dengan bilangan lesen yang dikeluarkan untuk vesel menangkap ikan pada lazimnya tidak sama. Bilangan perkakas menangkap ikan yang dilesenkan meningkat sebanyak 912 unit daripada 37,013 unit pada tahun 2003 kepada 37,925 unit pada tahun 2004.

 

3.4             Pendaratan Ikan Marin

 

Pada tahun 2004, pendaratan ikan marin meningkat sebanyak 3.77% daripada 1,283,256 tan metrik pada tahun 2003 kepada 1,331,645 tan metrik pada tahun 2004. Vesel menangkap ikan komersial yang mengusahakan pukat tunda dan pukat jerut ikan yang hanya merupakan 20% daripada jumlah bilangan vesel menangkap ikan telah menghasilkan 77.5% daripada pengeluaran ikan marin. Pada keseluruhannya pendaratan vesel pukat tunda meningkat 2.48% daripada 727,514 tan metrik pada tahun 2003 kepada 745,552 tan metrik pada tahun 2004. Manakala pendaratan oleh vesel pukat jerut ikan pula tidak menunjukkan perubahan jika dibandingkan dengan pendaratan pada tahun 2003 (264,170 tan metrik). Pada tahun 2004 industri sektor laut dalam menyumbang sebanyak 271,495 tan metrik ikan (tidak termasuk Sabah) iaitu merupakan 20.38% daripada jumlah pendaratan ikan marin di Malaysia. Pendaratan ini telah meningkat sebanyak 26.9% jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

 

Di Semenanjung Malaysia, sektor laut pantai masih menyumbangkan 85% daripada tangkapan ikan marin. Sektor ini meningkat sebanyak 3.45% dari 780,096 tan metrik kepada 807,027 tan metrik pada tahun 2004. sektor laut dalam juga mengembang sebanyak 1.29% dari 140,259 tan metrik kepada 142,075 tan metrik pada tahun 2004. Pendaratan dari sektor laut dalam di Semenanjung Malaysia adalah 52% dari jumlah pendaratan laut dalam negara. Pada masa ini, sumbangan sektor ini dari Malaysia Timur kian meningkat sejajar dengan keadaan sumber perikanan di perairan ini.

 

Walaupun sumbangan pendaratan ikan marin di Semenanjung Mlaysia adalah majoritinya dari sektor perikanan laut pantai (85%), pendaratan oleh bot-bot tradisi adalah 21% daripada pendaratan keseluruhan iaitu meningkat sebanyak 9.17% daripada 194,209 tan metrik kepada 212,035 tan metrik pada tahun 2004. Kebanyakkan pendaratan sektor laut pantai di Semenanjung Malaysia disumbangkan oleh bot-bot menangkap ikan komersial iaitu bot pukat tunda dan pukat jerut bermuatan kurang dari 70 GRT sebanyak 63%. Angka ini menurun 27% dari 836,008 tan metrik pada tahun 2003 kepada 609,388 tan metrik pada tahun 2004.

 

Pendaratan tangkapan ikan marin mengikut negeri adalah seperti di Jadual 2. Pantai Barat menyumbang 62.5% daripada jumlah pendaratan di Semenanjung Malaysia manakala Pantai Timur kekal menyumbangkan 37.5% dari jumlah pendaratan. Negeri Perak mengeluarkan 24.8% diikuti oleh Negeri Pahang 13.5%, Selangor 12.9%, Terengganu 11.3% dan Perlis 11.0%. Lain-lain negeri menyumbangkan kurang dari 10%.

 

4.         AKUAKULTUR

 

4.1             Pengeluaran Akuakultur

 

Pengeluaran akuakultur pada tahun 2004 masih dipengaruhi oleh pengeluaran kerang, kolam air tawar dan sangkar air payau. Pengeluaran pada keseluruhannya direkodkan pada 202,225 tan metrik iaitu kenaikan sebanyak 2.72% berbanding dengan tahun lepas. Angka ini menyumbangkan sebanyak 12% kepada pengeluaran ikan negara. Nilai pengeluaran pula meningkat sebanyak 7.86% dari RM 1,172.3 juta kepada RM 1,264.5 juta.

 

Sejumlah 21,507 penternak terlibat dalam industri akuakultur dalam tahun 2004,  meningkat (1.86%) daripada 21,114 orang pada tahun 2003. Sejumlah besar tenaga kerja terlibat dalam sektor air tawar iaitu 17,298 orang dan ini merupakan 80.4% daripada keseluruhan penternak akuakultur. Sektor air payau/masin pula melibatkan 4,209 orang penternak.

 

4.2             Ternakan Air Tawar

 

Ternakan air tawar menyumbang sebanyak 27.5% daripada jumlah pengeluaran akuakultur. Dalam tahun 2004 jumlah pengeluaran ternakan air tawar telah meningkat sebanyak 11.23% daripada 49,947 tan metrik kepada 55,556.60 tan metrik. Daripada segi nilai pula ia merekodkan RM255.08 juta iaitu peningkatan 5.75% berbanding tahun sebelumnya dan dengan itu menyumbang hampir 20% daripada jumlah nilai pengeluaran akuakultur keseluruhan.

 

Sektor ternakan kolam air tawar merupakan penggerak utama dalam sistem ternakan ini, menyumbang sebanyak  70.6% (39,233.43 tan metrik) daripada jumlah pengeluaran air tawar iaitu meningkat 9.96% berbanding dengan pengeluaran tahun 2003. Daripada segi nilai ia mencatatkan peningkatan sebanyak 2.99% daripada RM 175.53 juta kepada RM 180.78 juta pada tahun 2004. Spesis utama yang diternak ialah Keli (14,568 tan metrik), Tilapia Merah  (12,709 tan metrik), Tilapia Hitam (2,664 tan metrik) dan Patin (2,558 tan metrik).

 

Pengeluaran dari bekas lombong  meningkat sebanyak 33.11% daripada 6,495 tan metrik dalam tahun 2003 kepada 8,646 tan metrik dalam tahun 2004.  Nilai pengeluaran juga meningkat sebanyak 35.46% daripada RM 22.73 juta dalam tahun 2003 kepada RM 30.79 juta dalam tahun 2004. Spesis utama yang dihasilkan ialah Tilapia Merah (4,082.26 tan metrik), Kap Kepala Besar (1,817.75 tan metrik) dan Tilapia Hitam (1,206.54 tan metrik).

 

Ternakan sangkar air tawar menyumbang 10.1% dari keseluruhan pengeluaran ternakan air tawar iaitu penurunan sebanyak 4.84% daripada 5,896 tan metrik kepada 5,611 tan metrik dalam tahun 2004. Tilapia Merah merupakan spesis utama dengan pengeluaran sebanyak 2,958.76 tan metrik bernilai RM 15.54 juta dan diikuti Patin sebanyak 1,736.46 tan metrik bernilai RM 11.39 juta.

 

Ternakan tangki simen dan kandang menyumbang 1,671.10 tan metrik terutama ternakan Tilapia Merah, Keli dan Patin. Selangor merupakan pengeluar utama ternakan dari tangki simen. Manakala, pengeluaran paling tinggi sistem kandang ikan adalah dari negeri Kelantan iaitu sebanyak 395.24 tan metrik.

 

4.3             Sistem Air Payau

 

Sektor air payau dalam tahun 2004 menyumbang 75.52% daripada jumlah pengeluaran akuakultur. Sumbangan ini menurun 0.18% daripada 146,927 tan metrik pada tahun 2003 berbanding 146,668  tan metrik tahun 2004. Penurunan ini dipengaruhi oleh penghasilan kerang yang merosot sebanyak 9.15% daripada 71,067 tan metrik dalam tahun 2003 kepada 64,565 tan metrik dalam tahun 2004. Pengeluaran kerang merupakan 44% daripada jumlah pengeluaran dari sektor sistem air payau. Negeri Perak menghasilkan 69.71% daripada pengeluaran pada tahun 2004 iaitu sebanyak 45,010.79 tan metrik diikuti oleh Selangor 9,810.44 tan metrik dan Pulau Pinang 8,163.21 tan metrik.  

 

Pengeluaran daripada ternakan kolam air payau meningkat sebanyak 9.78% daripada 29,309.53 tan metrik dalam tahun 2003 kepada 32,175.41 tan metrik dalam tahun 2004. Walau bagaimanapun, nilai berkurang sebanyak 3.69% daripada RM 699.83 juta kepada RM 674.02 juta. Negeri Perak mempunyai pengeluaran tertinggi berbanding negeri lain iaitu sebanyak 8,111.59  tan metrik.

 

Pengeluaran dari sangkar air payau adalah sebanyak 10,806 tan metrik, menurun daripada 10,984 tan metrik pada tahun 2003. Sementara nilai pengeluaran turut menurun 0.96% daripada RM 156.57 juta kepada RM 155.07 juta dalam tahun 2004. Johor mendahului negeri lain dengan pengeluaran sebanyak 3,314.61 tan metrik. Pengeluaran utama dari sangkar air payau terdiri daripada ikan Kerapu dan Siakap yang menyumbang sebanyak 50.08% daripada pengeluaran sektor ini.  Spesis lain termasuk Jenahak, Merah dan Siakap Merah.

 

Pengeluaran siput sudu telah meningkat sebanyak 3.23% daripada 7,701 tan metrik dalam tahun 2003 kepada 7,905 tan metrik dalam tahun 2004.  Negeri Johor yang merupakan pengeluar utama dengan pengeluaran sebanyak 7,639 tan metrik iaitu 96.64% pengeluaran siput sudu negara.  Nilai pengeluaran siput sudu meningkat daripada  RM 2.85 juta dalam tahun 2003 kepada RM 3.26 juta pada tahun 2004 iaitu penambahan sebanyak 14.38%.

 

Jumlah pengeluaran tiram adalah sebanyak 260.68 tan metrik dalam tahun 2004 dengan nilai pengeluaran sebanyak RM 1.34 juta. Negeri Sabah mendahului dengan pengeluaran sebanyak 198.48 tan metrik.

 

4.4             Ikan Hiasan

 

Jumlah pengeluaran ikan hiasan telah menunjukkan peningkatan sebanyak 6.40% daripada  428,298,151 ekor dalam tahun 2003 kepada 455,723,540 ekor dalam tahun 2004. Daripada segi nilai terdapat peningkatan sebanyak 8.60% daripada RM 97.64 juta dalam tahun 2003 kepada RM 106.03 juta dalam tahun 2004. Negeri Johor masih memonopoli pengeluaran ikan hiasan yang menyumbang sebanyak 298,321,908 ekor iaitu 65.46% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran ikan hiasan dalam tahun 2004.

 

5.         PENGELUARAN BENIH

 

Pengeluaran benih dan rega ikan air tawar dari pusat pembaikbiak ikan kerajaan pada tahun 2004 adalah sebanyak 34.70 juta ekor. Spesis utama yang dikeluarkan ialah Keli, , Tilapia Merah dan Lampam Jawa.

 

Pengeluaran benih dan rega ikan/udang air payau daripada pusat kerajaan pada tahun 2004 adalah sebanyak 424.25 juta ekor. Spesis utama ialah Siakap, Kerapu, Udang Galah dan Udang Harimau

 

Pada tahun 2004 sejumlah 5.79 juta ekor benih ikan air tawar dilepaskan ke perairan umum dan sejumlah 20.91 juta ekor benih ikan air tawar dibahagikan kepada penternak-penternak pada tahun 2004. Penternak Sarawak adalah penerima utama diikuti oleh Perak dan Sabah.

 

6.         PERAIRAN UMUM

 

Pendaratan dari perairan umum meningkat daripada 3,828 tan metrik pada tahun 2003 kepada 4,119 tan metrik pada tahun 2004 iaitu sebanyak 7.60%. Negeri Perak menyumbang sebanyak 1,437 tan metrik atau 34.88% daripada keseluruhan pendaratan ikan dari perairan umum.