Lampiran 1 - Latarbelakang Asal Dan Penghuraian Kod
 

 1. Lampiran ini menerangkan mengenai proses penghuraian dan perundingan kod ini, yang kemudiannya dikemukakan pada sesi ke-28 Persidangan FAO untuk diterima pakai. Adalah dirasakan perlu seksyen ini dijadikan lampiran sebagai rujukan kepada asal usul dan pengolahan Kod ini dan demikian itu, menggambarkan kepentingan yang timbul daripadanya dan semangat berkompromi semua pihak yang terlibat dalam penghuraiannya. Diharapkan daya usaha ini akan lebih menggalakkan lagi komitmen yang diperlukan untuk perlaksanaannya.

2. Dalam pelbagai forum antarabangsa, telah lama disuarakan perihal keprihatinan terhadap ekploitasi stok ikan secara berlebihan yang berlaku dengan ketara, kerosakan ekosistem, kerugian ekonomi, dan isu-isu yang menjejaskan perdagangan ikan – semuanya memudaratkan kemapanan perikanan dalam jangka masa yang panjang dan sebaliknya pula, mengurangkan sumbangan perikanan sebagai sumber makanan. Dalam membincangkan isu-isu terkini dan juga prospek perikanan dunia, Sesi ke-19 Jawatankuasa Perikanan FAO (COFI) yang diadakan dalam bulan Mac 1991 telah mencadangkan agar FAO membangunkan konsep perikanan yang bertanggungjawab dan menhuraikannya dengan lebih lanjut kepada Kod Amalan.

3. Kemudiannya, Kerajaan Mexico, dengan kerjasama FAO, menganjurkan Persidangan Antarabangsa Perikanan Yang Bertanggungjawab di Cancun dalam bulan Mei 1992. Deklarasi Cancun yang disahkan dalam persidangan tersebut telah menghuraikan dengan lebih terperinci konsep perikanan yang bertanggungjawab, dengan menyatakan bahawa “konsep ini merangkumi pemanfaatan secara mampan sumber perikanan secara harmoni dengan persekitaran :penerapan amalan tankapan dan akuakultur yang tidak membahayakan ekosistem, sumber atau kualitinya:penerapan nilai ditambah pada produk melalui proses transformasi yang memenuhi piawai sanitari yang disyaratkan: perlaksanaan amalan komersial yang memberikan pengguna produk berkualiti tinggi.

4. Deklarasi Cancun telah dikemukakan untuk perhatian Sidang Kemuncak Rio UNCED dalam bulan Jun 1992, yang menyokong penyediaan Kod Amalan Perikanan Yang Bertanggungjawab. Perundingan Teknikal FAO tentang Penangkapan Ikan Laut Lepas yang diadakan dalam bulan September 1992, telah mencadangkan penghuraian lanjut Kod untuk membincangkan isu-isu berkenaan dengan perikanan laut lepas.

5. Sesi ke-102 Majlis FAO, yang diadakan pada bulan November 1992, telah membincangkan mengenai penghuraian kod ini, dengan cadangan untuk memberikan keutamaan kepada isu-isu laut lepas dan meminta agar cadangan Kod ini dikemukakan kepada sesi Jawatankuasa Perikanan bagi tahun 1993.

6. Sesi ke-20 COFI, yang diadakan dalam bulan Mac 1993, meneliti prinsip umum bagi kod ini, termasuklah penghuraian lanjut garis panduannya dan bersetuju dengan rangka kerja untuk penghuraian lanjut kod ini. Jawatankuasa juga menerima agar FAO menyediakan dengan kadar segera, sebagai sebahagian dari kod ini, cadangan untuk menghalang pendaftaran semula vessel penangkapan ikan yang mengancam langkah-langkah pengurusan dann pemuliharaan laut lepas.

Halaman: 1  2  3  4