ARTIKEL 8 - OPERASI PENANGKAPAN IKAN ARTIKEL 8 - OPERASI PENANGKAPAN IKAN

 

8.1 Tanggungjawab Semua Negara
 
8.1.1 Negara-negara harus memastikan hanya operasi penangkapan ikan yang dibenarkan oleh negara-negara tersebut dijalankan didalam perairan negara tersebut dan operasi penangkapan itu dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab.
 
8.1.2 Negara-negara harus menyediakan dan mengemaskinikan semua rekod tentang lesen penangkapan ikan yang dikeluarkan oleh sesebuah negara pada jangkamasa berjadual.
 
8.1.3 Negara-negara harus menyimpan data statistik yang dikemaskini pada jangka waktu yang tertentu, sesuai dengan piawaian dan amalan antarabangsa yang diterima pakai keatas semua kaedah penangkapan ikan yang dilesenkan oleh negara berkaitan.
 
8.1.4 Negara-negara harus bekerjasama memujudkan sistem pengawasan, pengawalan, pengawalseliaan dan penguatkuasaan selaras dengan undang-undang antarabangsa dan pihak pertubuhan pengurusan perikanan serantau dalam hal-hal berkaitan dengan kaedah penangkapan ikan dan aktiviti berkaitan diluar perairan sesebuah negara.
 
8.1.5 Negara-negara harus memastikan agar piawaian kesihatan dan keselamatan bagi semua yang terlibat dalam operasi penangkapan ikan diterima pakai. Piawaian tersebut haruslah tidak kurang dari piawaian yang dikehendaki oleh perjanjian antarabangsa yang relevan dengan suasana kerja dan perkhidmatan.
 
8.1.6 Negara-negara harus secara sendirian, bersama dengan negara lain atau pertubuhan antarabangsa yang berkaitan membuat peraturan penyeliaan operasi penangkapan dalam sistem mencari dan menyelamat.
8.1.7 Negara-negara harus mempertingkatkan kepakaran dan profesionalisma para nelayan dimana perlu melalui program latihan dan pendidikan. Walau bagaimana pun program tersebut mestilah mengambil kira piawaian antarabangsa dan garis panduan yang telah dipersetujui.
 
8.1.8 Negara-negara harus menyimpan rekod nelayan yang mengandungi maklumat perkhidmatan dan kelayakan termasuk sijil-sijil kecekapan selaras dengan undang-undang negara mereka.
 
8.1.9 Negara-negara harus mewujudkan peruntukan keatas nakhoda serta kru vesel yang didakwa dengan sesuatu kesalahan berkaitan dengan pengendalian vesel menangkap ikan antara lain termasuk pembatalan atau pembekuan kuasa selaku nakhoda atau kru sesuatu vesel menangkap ikan.
 
8.1.10 Negara-negara dengan bantuan organisasi antarabangsa yang relevan harus memastikan melalui pendidikan dan latihan, memberi maklumat terpenting kepada mereka yang terlibat dalam penangkapan ikan mengenai peruntukan kod ini serta peruntukan konvensyen antarabangsa yang relevan dan piawaian lain bagi menjamin operasi penangkapan ikan yang bertanggung jawab.
 
8.2 Tanggungjawab Negara Pendaftar Vesel 
 
8.2.1 Negara pendaftar vesel harus menyimpan rekod semua vesel yang didaftarkan dan lesen untuk menangkap ikan dan rekod tersebut harus menunjukkan dengan terperinci butiran vesel, pemilik vesel dan lesen menangkap ikan.
 
8.2.2 Negara pendaftar vesel harus mempastikan vesel yang didaftarkan tidak menangkap ikan dilaut lepas atau diperairan negara lain kecuali vesel berkenaan telah diberi Sijil Pendaftaran dan telah dibenarkan menangkap ikan oleh pihak berkuasa yang diperakukan.Sijil dan surat kebenaran tersebut mestilah disimpan diatas vesel.
 
8.2.3 Vesel penangkapan ikan yang dilesenkan bagi menangkap ikan dilaut lepas dan diperairan negara asing hendaklah ditandakan bersesuaian dengan sistem penandaan vesel yang diiktiraf diperingkat antarabangsa seperti Spesifikasi Piawai dan Garis Panduan bagi Menanda dan Mengenali Vesel Penangkapan Ikan yang dikeluarkan oleh FAO.
 
8.2.4 Peralatan perikanan haruslah ditanda bersesuaian dengan perundangan negara agar pemilik alat tersebut dapat dikenal pasti. Cara penandaan haruslah menepati sistem penandaan yang diiktiraf diperingkat antarabangsa.
 
8.2.5 Negara pendaftar harus memastikan agar keperluan keselamatan bagi vesel dan nelayan hendaklah dipatuhi bersesuaian dengan konvensyen antarabangsa, kod amalan antarabangsa dan garis panduan yang sukarela.Negara-negara juga harus mengguna pakai keperluan keselamatan untuk vesel-vesel kecil yang tidak termaktub didalam konvensyen antarabangsa, kod amalan dan garis panduan yang sukarela.
8.2.6 Negara yang tidak menandatangani "Persetujuan untuk Mematuhi Langkah-Langkah Pemuliharaan dan Pengurusan oleh Vesel Penangkapan Ikan Dilaut Lepas" hendaklah digalakkan bagi menerima pakai undang-undang dan peraturan sejajar dengan peruntukan persetujuan tersebut.
 
8.2.7 Negara pendaftar harus mengambil langkah-langkahpenguatkuasaan terhadap vesel penangkapan ikan yang didaftarkan sekiranya tidak mematuhi langkah-langkah pemuliharaan dan pengurusan, dimana perlu ketidak patuhan ini hendaklah diambil kira sebagai satu kesalahan dibawah perundangan negara. Sekatan yang dilakukan keatas pelanggaran ini haruslah cukup berat dan efektif bagi tujuan pencegahan. Sekatan tersebut termasuklah pembatalan dan pembekuan lesen menangkap ikan.
 
8.2.8 Negara pendaftar harus menggalakkan pengambilan insuran oleh pemilik dan penyewa vesel penangkapan ikan. Para pemilik dan penyewa vesel harus mempunyai insuran yang cukup bagi melindungi kru kapal dan kepentingan mereka bagi melindungi pihak ketiga dari kerugian atau kerosakan dan menjaga kepentingan mereka sendiri.
 
8.2.9 Negara pendaftar harus memastikan agar kru kapal berhak untuk penghantaran balik atas prinsip yang termaktub dalam "Konvensyen Pemulangan Pelaut (semakan) 1987 (No 166)"
 
8.2.10 Jika berlaku sebarang kemalangan keatas sesuatu vesel penangkapan ikan atau sesaorang diatas vesel penangkapan ikan, negara pendaftar vesel berkenaan harus memberi maklumat terperinci mengenai kemalangan kepada negara asal orang yang terlibat didalam kemalangan tersebut. Maklumat tersebut juga jika berkenaan disalurkan kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
 
8.3 Kewajipan Negara Pelabuhan
 
8.3.1 Negara pelabuhan, melalui prosedur yang ditetapkan dalam peraturan perundangan, sesuai dengan undang-undang, perjanjian atau peraturan antarabangsa yang boleh digunakan, harus membantu negara lain dalam mencapai objektif kod ini. Mereka juga harus memaklumkan kepada negara lain secara terperinci peraturan-peraturan dan langkah -langkah yang mereka tetapkan untuk tujuan itu. Dalam mengambil langkah tersebut suatu negara pelabuhan tidak boleh mendiskriminasikan vesel dari negara lain dalam apa jua bentuk pun.
 
8.3.2 Negara pelabuhan harus memberi bantuan berkenaan kepada Negara Pendaftar jika perlu, sesuai dengan undang-undang Negara Pelabuhan dan undang-undang antarabangsa, ketika sebuah vesel penangkapan ikan yang berada secara sukarela di pelabuhan atau pada suatu terminal dilaut lepas di negara pelabuhan, bilamana negara pendaftar vesel itu, memohon bantuan dari negara pelabuhan berkenaan sejajar dengan langkah pemuliharaan dan langkah pengurusan serantau, atau piawaian minimum yang dipersetujui peringkat antarabangsa untuk mencegah pencemaran, keselamatan, kesihatan serta persyaratan kerja di atas vesel penangkapan ikan.
 
8.4 Aktiviti Penangkapan Ikan
 
8.4.1 Negara-negara harus memastikan bahawa penangkapan ikan dilakukan dengan mengambil kira keselamatan nyawa manusia dan peraturan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) untuk Pencegahan Pelanggaran di Laut, sesuai dengan keperluan IMO berkaitan dengan pengorganisasian trafik dan perlindungan persekitaran marin serta pencegahan kerosakan atau kehilangan alat menangkap ikan.
 
8.4.2 Negara-negara harus melarang amalan penangkapan ikan yang menggunakan bahan letupan dan racun serta amalan penangkapan ikan lain yang merosakkan.
 
8.4.3 Negara-negara harus melakukan segala usaha untuk memastikan bahawa dokumentasi berkaitan dengan operasi penangkapan ikan, hasil tangkapan ikan, mahupun bukan-ikan, disimpan dengan baik dan dimajukan secara sistematik kepada badan berkenaan kerana diperlukan bagi penilaian stok ikan seperti yang diputuskan oleh badan pengurusan yang releven. Negara-negara, harus menetapkan program, seperti program pemerhatian dan pemeriksaan skim, untuk meningkatkan kepatuhan terhadap langkah-langkah yang digunakan.
 
8.4.4 Negara-negara harus menggalakkan penerapan teknologi yang sesuai, dengan mengambil kira keadaan ekonomi, untuk menggunakan hasil tangkapan dengan cara terbaik.
 
8.4.5 Negara-negara, serta kumpulan dari industri harus menggalakkan pembangunan dan pelaksanaan teknologi dan cara operasi yang boleh mengurangkan ikan buangan. Penggunaan alat penangkapan ikan dan amalan yang menjurus pada terbuangnya hasil tangkapan harus dicegah, sedangkan penggunaan alat penangkapan ikan dan amalan yang meningkatkan kadar kemandirian ikan yang bolos harus digalakkan.
 
8.4.6 Negera-negara harus bekerjasama untuk membangunkan dan menerapkan teknologi, bahan dan cara operasi yang boleh meminimumkan kehilangan alat penangkapan ikan dan kesan dari peralatan yang hilang dan ditinggalkan (ghost fishing effects).
 
8.4.7 Negara-negara harus memastikan bahawa kajian implikasi gangguan terhadap habitat dilaksanakan sebelum memperkenalkan alat penangkapan ikan baru secara komersial serta cara operasinya di sesuatu kawasan.
 
8.4.8 Penyelidikan kesan keatas persekitaran dan sosial oleh alat penangkapan ikan dan khususnya, kesan alat tangkapan itu keatas kepelbagaian biologi dan komuniti nelayan pesisir harus digalakkan.
 
8.5 Selektiviti Alat Menangkap Ikan 
 
8.5.1 Negara-negara harus mensyaratkan bahawa alat, cara dan amalan penangkapan ikan, adalah sesuai untuk meminimakan pembaziran ikan buangan, hasil tangkapan spesies bukan-sasaran bagi spesies ikan dan bukan-ikan serta kesan terhadap spesies yang berkaitan atau bergantung peraturan berkaitan. Sehubungan dengan ini, para nelayan harus bekerjasama dalam membangunkan alat dan cara penangkapan yang selektif. Negara-negara harus memastikan bahwa maklumat tentang pembangunan dan keperluan yang terbaru tersedia bagi semua nelayan.
 
8.5.2 Dalam rangka meningkatkan selektiviti, negara harus merangka undang-undang dan peraturan dengan mengambil kira kepelbagaian alat penangkap ikan yang selektif, cara dan strategi penangkapan ikan yang sedia ada dalam industri.
 
8.5.3 Negara-negara dan institusi yang berkaitan harus berkerjasama dalam membangunkan piawaian metodologi bagi penyelidikan selektiviti alat, cara dan strategi penangkapan ikan.
 
8.5.4 Kerjasama peringkat antarabangsa dalam aspek program penyelidikan bagi selektiviti, cara serta strategi penangkapan ikan, menyebarkan hasil penyelidikan dan pemindahan teknologi harus digalakkan.
 
8.6 Mengoptimumkan Tenaga
 
8.6.1 Negara-negara harus menggalakkan pembangunan piawaian yang sesuai serta garis panduan yang boleh menjurus kepada penggunaan tenaga yang lebih efisien dalam aktiviti penangkapan dan lepas tuai di dalam sektor perikanan.
 
8.6.2 Negara-negara harus menggalakkan pembangunan dalam pemindahan teknologi berkaitan dengan mengoptimumkan tenaga di dalam sektor perikanan dan, khususnya, menggalakkan pemilik, penyewa dan pengurus vesel penangkapan ikan melengkapkan vesel mereka dengan alat untuk mengoptimumkan tenaga.
 
8.7 Perlindungan Persekitaran Akuatik
 
8.7.1 Negara-Negara harus memperkenalkan dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan perundangan berdasarkan Konvensyen antarabangsa Pencegahan Pencemaran dari Kapal, 1973 sebagaimana yang diubahsuai oleh Protocol of 1978 yang berkaitan (MARPOL 73/78).
 
8.7.2 Para pemilik, penyewa dan pengurus vesel penangkapan ikan harus memastikan vesel kapal mereka dilengkapi dengan peralatan yang sesuai seperti yang disyaratkan oleh MARPOL 73/78 dan harus menimbangkan pemasangan sebuah alat pemadatan atau pembakar di vesel untuk kelas vesel yang berkaitan bagi menangani sampah dan bahan buangan diatas vesel yang dihasilkan semasa operasi biasa.
 
8.7.3 Para pemilik, penyewa dan pengurus kapal penangkap ikan harus meminimumkan pengambilan bahan berpotensi menjadi bahan buangan.
 
8.7.4 Kru vesel penangkapan ikan harus arif dengan prosedur diatas vesel untuk memastikan pembuangan tidak melebihi had yang ditetapkan oleh MARPOL 73/78. Prosedur tersebut harus sekurang-kurangnya meliputi pembuangan minyak buangan dan pengendalian serta penyimpanan sampah dari vesel.
 
8.8 Perlindungan Atmosfera
 
8.8.1 Negara-negara harus menggunakan piawaian dan garis panduan yang sesuai termasuk peruntukan untuk mengurangkan bahan merbahaya dalam pengeluaran gas ekzos.
 
8.8.2 Para pemilik, penyewa dan pengurus vesel penangkapan ikan harus memastikan bahawa vesel mereka dilengkapkan dengan peralatan untuk mengurangi pengeluaran bahan yang boleh menipiskan lapisan ozon. Kru yang bertanggungjawab haruslah mahir dalam menjalankan dan menyelenggara jentera diatas vesel secara yang betul.
 
8.8.3 Pihak berkuasa yang diperakukan haruslah menyediakan peruntukan bagi menghapuskan penggunaan khlorofluorokarbon CFC dan bahan tradisional seperti hidrokhlorofluorokarbon HCFC, dalam sistem penyejukan vesel penangkapan ikan serta memastikan industri pembinaan kapal dan mereka yang terlibat dalam industri penangkapan ikan dimaklumkan peruntukan tersebut dan mematuhinya.
 
8.8.4 Para pemilik atau pengurus vesel penangkapan ikan haruslah mengambil tindakan yang berpatutan untuk menukar bahan penyejuk CFC dan HCFC kepada bahan penyejuk alternatif dan mengganti Halon dalam sistem pemadam kebakaran. Alternatif tersebut harus digunakan dalam spesifikasi untuk semua vesel penangkap ikan yang baru.
 
8.8.5 Negara-negara dan pemilik, penyewa dan pengurus vesel penangkapan ikan dan juga nelayan seharusnya mematuhi garispanduan antarabangsa bagi pembuangan CFC, HCFC dan Halon.
 
8.9 Pelabuhan dan Pangkalan Pendaratan Ikan
 
8.9.1 Negara-negara seharusnya mengambil kira, antara lain, perkara yang berkaitan dengan rekabentuk dan pembinaan pelabuhan serta pangkalan pendaratan ikan;
 
a) tempat berlindung yang selamat bagi vesel penangkapan ikan dan disediakan kemudahan yang mencukupi untuk vesel, penjual dan pembeli;
 
b) bekalan air tawar yang mencukupi dan peraturan sanitasi harus disediakan;
 
c) sistem pembuangan sisa, termasuklah pembuangan minyak, air berminyak dan peralatan penangkapan ikan harus diperkenalkan; 
 
d) pencemaran dari aktiviti perikanan dan sumber luaran harus diminimumkan dan;
 
e) peraturan untuk membenteras kesan hakisan dan pemendapan harus dibuat.
 
8.9.2 Negara-negara haruslah menetapkan rangka kerja institusi bagi memilih atau memperbaiki lokasi untuk pelabuhan bagi vesel penangkapan ikan dan membolehkan khidmat nasihat yang terdiri daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab keatas pengurusan kawasan pesisir.
 
8.10 Peninggalan Struktur dan Bahan Lain
 
8.10.1 Negara-negara harus memastikan bahwa piawaian dan garis panduan bagi pemindahan struktur luar pantai yang tidak digunakan lagi yang diterbitkan oleh IMO diikuti. Negara-negara juga haruslah memastikan bahwa pandangan pihak berkuasa Perikanan yang berkelayakan diperolehi sebelum mengambil keputusan tentang peninggalan struktur dan bahan lain oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
 
8.11 Tukun Tirun dan Peranti Pengumpul Ikan
 
8.11.1 Negara-negara, dimana perlu, haruslah membangunkan polisi untuk meningkatkan stok populasi ikan dan menambah peluang penangkapan ikan melalui penggunaan struktur tukun tiruan, yang ditempatkan dengan mengambil kira keselamatan pelayaran, samada pada dasar dan atas dasar laut atau pada permukaan laut. Kajian mengenai penggunaan struktur tersebut, termasuklah kesannya terhadap sumber hidupan laut dan alam sekitar hendaklah dipergiatkan.
 
8.11.2 Negara-negara harus memastikan bahawa, apabila memilih bahan-bahan yang akan digunakan untuk membina tukun tiruan, dan juga ketika memilih lokasi secara geografi tukun tiruan tersebut, peruntukan undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan alam sekitar dan keselamatan pelayaran hendaklah juga diberi perhatian. 
 
8.11.3 Negara-negara, di dalam rangka kerja plan pengurusan kawasan pesisir pantai, haruslah menetapkan sistem pengurusan bagi tukun tiruan dan peranti pengumpul ikan. Sistem pengurusan tersebut harus mensyaratkan kelulusan bagi pembinaan dan penempatan tukun dan peranti dan seharusnya mengambil kira kepentingan para nelayan, termasuk nelayan artisanal dan nelayan kecil-kecilan.
 
8.11.4 Negara-negara harus memastikan bahawa pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam mengemaskini rekod pemetaan dan carta bagi tujuan pelayaran, dan juga pihak berkuasa alam sekitar yang berkenaan dimaklumkan sebelum tukun tiruan dan peranti pengumpul ikan ditempatkan ataupun dipindahkan.